Kenaikan penanda aras baharu MGS bagi 2026 beri peluang pengurusan tempoh matang lebih seimbang - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan penanda aras baharu MGS bagi 2026 beri peluang pengurusan tempoh matang lebih seimbang - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Dis - Langkah Bank Negara Malaysia menaikkan serta menyusun semula penanda aras baharu Malaysian Government Securities (MGS) bagi tahun 2026, sejajar dengan peningkatan penerbitan hutang dan usaha menambah baik profil tempoh matang pasaran bon kerajaan, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB)

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan Kalendar Lelongan 2026, jumlah keseluruhan lelongan akan meningkat kepada 37 berbanding 36 pada 2025 bagi menampung penerbitan MGS dan Government Investment Issues (GII) yang lebih besar, dengan jumlah bekalan kasar dianggarkan mencecah RM185 bilion.

 

Katanya, bagi MGS, penanda aras baharu yang diperkenalkan secara umumnya selari dengan jangkaan pasaran.

 

"MGS 7/35 sedia ada akan mengekalkan status sebagai penanda aras 10 tahun pada separuh pertama 2026 (1H26) dan hanya digantikan melalui terbitan baharu pada Oktober," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Maybank IB, dalam segmen jangka sederhana, MGS 6/31 dan MGS 4/33 masing-masing akan dibuka semula sebagai penanda aras 5 tahun dan 7 tahun.

 

Pada masa sama, segmen 15 tahun dan 20 tahun akan menyaksikan terbitan baharu, manakala MGS 7/55 dijangka mengekalkan status sebagai penanda aras 30 tahun.

 

Bagaimanapun katanya, pasaran dikejutkan dengan keputusan untuk memperkenalkan terbitan baharu MGS 3/29 bagi segmen 3 tahun, berbanding jangkaan pembukaan semula MGS 4/29.

 

"Langkah ini dilihat sebagai usaha meningkatkan kecairan di bahagian hadapan lengkung hasil, selari dengan tumpuan kerajaan terhadap penerbitan bon berjangka lebih pendek," katanya.

 

Maybank IB turut memberi perhatian kepada terbitan MGS 15 tahun baharu yang dijadualkan pada Januari 2026, yang dijangka menjadi petunjuk awal tahap pemulihan permintaan bagi bon tempoh matang panjang selepas penyusutan minat sejak suku ketiga 2025.

 

Secara keseluruhan, penstrukturan semula penanda aras MGS ini dijangka membantu mengekalkan pasaran bon kerajaan yang lebih seimbang, dengan tempoh matang purata wajaran diunjur memendek kepada 13.5 tahun berbanding 14 tahun pada 2025, sekali gus meningkatkan kebolehurusan risiko tempoh matang dalam jangka sederhana. - DagangNews.com