Kenaikan kos arang batu berisiko jejaskan prestasi Malayan Cement pada 3QFY26 – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan kos arang batu berisiko jejaskan prestasi Malayan Cement pada 3QFY26 – RHB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei – RHB Research menjangkakan Malayan Cement Bhd mencatat prestasi kewangan yang sedikit lemah bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir Jun 2026 (3QFY26), dipengaruhi terutamanya oleh kenaikan kos arang batu walaupun pengeluaran simen meningkat.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan keuntungan bersih teras (core PATAMI) syarikat berada dalam julat RM200 juta hingga RM230 juta bagi suku tersebut, mewakili penurunan sekitar 5% hingga 15% secara suku ke suku.

 

Bagi tempoh sembilan bulan FY26, RHB menjangka pendapatan terkumpul Malayan Cement akan mencecah antara RM645 juta hingga RM669 juta.

 

“Walaupun pengeluaran simen meningkat sekitar 9% suku ke suku, kesan positif itu telah diimbangi oleh lonjakan kos bahan api utama iaitu arang batu.

 

“Harga rujukan arang batu Newcastle dan Rotterdam meningkat sekitar 12% hingga 15% suku ke suku kepada paras AS$110 hingga AS$120 satu tan yang memberi tekanan kepada margin keuntungan,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

RHB Research berkata impak kenaikan kos tersebut masih agak terhad dalam jangka pendek kerana syarikat masih menggunakan inventori arang batu pada kos lebih rendah sehingga Mei 2026.

 

Namun begitu, tekanan kos dijangka menjadi lebih ketara bermula suku keempat tahun kewangan 2026 apabila kos input baharu mula diserap sepenuhnya.

 

Firma itu berkata arang batu yang digunakan oleh Malayan Cement dari Indonesia mempunyai kualiti tenaga yang lebih rendah berbanding sumber lain, namun ia lebih murah yang membantu mengurangkan kesan kenaikan harga arang batu di pasaran global.

 

Dalam masa yang sama, kerajaan Indonesia dijangka meningkatkan pengeluaran arang batu pada 2026, yang berpotensi mengekalkan keadaan lebihan bekalan dalam pasaran dan mengehadkan kenaikan harga secara berterusan.

 

RHB Research turut memberi amaran setiap kenaikan AS$10 satu tan dalam harga arang batu boleh mengurangkan keuntungan syarikat sekitar 5% hingga 6% setahun serta menekan margin EBIT sebanyak kira-kira 130 mata asas.

 

Bagaimanapun, pengurangan rebat simen kepada sekitar RM20 satu tan berbanding RM70 sebelum ini dilihat membantu mengimbangi sebahagian tekanan kos tersebut.

 

Dari sudut asas perniagaan, RHB menyifatkan Malayan Cement kekal mendapat manfaat daripada kedudukan dominan dalam industri serta kelebihan skala ekonomi yang membolehkan kecekapan kos lebih baik.

 

Saham syarikat itu kini didagangkan pada sekitar 10 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi FY27, lebih rendah berbanding purata sejarah sekitar 13 kali, sekali gus dilihat masih menarik dari sudut penilaian.

 

Pada masa yang sama, RHB mengekalkan saranan “Beli” ke atas saham Malayan Cement dengan harga sasaran tidak berubah pada RM9.80 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 47%.

 

Bagaimanapun, antara risiko utama kepada prospek syarikat termasuk kenaikan berterusan kos bahan mentah serta kemungkinan kelembapan ekonomi yang lebih meluas, menurut RHB Research.- DagangNews.com