Kenaikan ketara kos bahan binaan dikhuatiri kekang margin untung Kerjaya Prospek, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan ketara kos bahan binaan dikhuatiri kekang margin untung Kerjaya Prospek, kata penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 7 April — Tekanan kos bahan binaan secara ketara susulan ketidaktentuan global ketika ini menjadi isu kebimbangan utama terhadap margin keuntungan Kerjaya Prospek Group Berhad.


Beberapa penganalisis berpandangan, potensi syarikat itu kekal positif didorong aliran kontrak berterusan, namun memberi amaran mengenai masalah projek bukan kediaman dan kenaikan kos input.


Kenanga Research menyatakan buku tempahan terkumpul syarikat berkenaan yang sudah mencecah RM4.5 bilion dilihat mampu menampung aktiviti kumpulan tersebut untuk tempoh tiga tahun akan datang.


"Kami namun berhati-hati terhadap tekanan margin akibat kenaikan kos bahan, selain projek bukan perumahan yang lazim menawarkan margin rendah berbanding projek kediaman sekitar 10%," katanya.


Berdasarkan perkembangan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan penarafan 'outperform' ke atas saham Kerjaya Prospek dengan harga sasaran (TP) RM3.05, disokong potensi dividen melebihi 5%.


Secara umum, Kenanga mengambil pendekatan lebih berwaspada dengan menurunkan gandaan penilaian berikutan risiko konflik Timur Tengah yang boleh meningkatkan kos bahan binaan di Malaysia.


Pada masa sama, firma berkenaan menyatakan kemenangan kumpulan tersebut menerusi beberapa projek dalam segmen industri boleh menjadi pemangkin penilaian semula saham untuk jangka sederhana.

 

Kerjaya Prospek_DagangNews


"Kami melihat penurunan harga saham Kerjaya Prospek baru-baru ini sebagai peluang kemasukan, dan menjangkakan kontrak hospital RM98.8 juta di Seremban 2 menyumbang peningkatan hasil," katanya.


Sementara itu, TA Securities menganggarkan buku tender Kerjaya Prospek ketikan ini masih adalah kekal kukuh sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion, menyokong momentum pengisian kontrak bagi FY26.


Antaranya ujar firma itu, projek bertingkat tinggi bernilai RM1.0 bilion daripada Eastern & Oriental Berhad, serta peluang kontrak berjumlah RM2 bilion yang melibatkan banyak pusat data (DC) dan industri.


Ia juga menyifatkan projek hospital swasta baharu di Negeri Sembilan itu sebagai langkah strategik memasuki segmen penjagaan kesihatan, serta mempelbagaikan pendedahan daripada projek kediaman.


"Margin bersih kontrak ini dijangka lebih rendah iaitu sekitar 8% berbanding kebiasaan 10%, dengan sumbangan keuntungan sebanyak RM8 juta bagi tempoh kewangan 2026 hingga 2027," kata TA Securities.


Secara keseluruhan, ia melihat asas Kerjaya Prospek kekal teguh disokong buku tempahan tinggi dan aliran tender yang aktif, dengan mengekalkan saranan 'beli' serta TP tidak berubah RM3.25 sesaham.


Hala tuju margin syarikat akan banyak bergantung kepada kestabilan harga bahan binaan dan keupayaan meneruskan kecekapan pelaksanaan projek dalam persekitaran kos semakin mencabar. - DagangNews.com