Kenaikan gaji beri kesan positif kepada sektor pengguna tahun ini, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan gaji beri kesan positif kepada sektor pengguna tahun ini, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Mac — Peningkatan kadar gaji dalam kalangan penjawat awam dan pekerja swasta di negara ini dijangka mampu memberikan kesan yang positif kepada sektor  pengguna, kata RHB Research.
 

Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan tersebut akan meningkatkan pendapatan boleh guna dan sentimen pengguna kerana kebanyakan syarikat yang ditinjau melihat berlaku momentum positif dalam data mereka.
 

Selain itu katanya, pertumbuhan ekonomi teguh dan pasaran pekerjaan harus terus menyokong sektor tersebut, dengan kumpulan berpendapatan rendah akan disokong oleh bantuan tunai dan pelbagai subsidi daripada kerajaan.
 

"Sebaliknya, kesan inflasi yang timbul daripada rasionalisasi subsidi petrol masih tidak jelas pada ketika ini dan kami masih menunggu untuk mengetahui mengenai mekanisme tersebut," katanya dalam satu nota kajian.
 

RHB Research berkata, kebanyakan syarikat mencatatkan jualan suku-ke-suku (QoQ) lebih tinggi, didorong oleh faktor bermusim yang menggalakkan menjelang akhir tahun dan dibantu perayaan Tahun Baharu Cina pada awal 2025.
 

Berdasarkan asas tahun-ke-tahun (YoY), kebanyakan perniagaan yang dipacu domestik mencatatkan pertumbuhan positif, mencerminkan perbelanjaan pengguna berdaya tahan di sebalik pertumbuhan ekonomi sihat dan pasaran pekerjaan.
 

Bagaimanapun firma itu berkata, sentimen pengguna kekal lemah apabila kos sara hidup yang tinggi terus mengehadkan perbelanjaan, sekali gus menekan pengguna yang dipengaruhi inflasi untuk memilih ketika berbelanja.
 

"Keadaan ini menjelaskan mengenai rekod pendapatan yang agak lemah bagi syarikat yang bergantung kepada budi bicara perbelanjaan pengguna berbanding pemain produk ruji pengguna," kata RHB Research.
 

Firma penyelidikan tersebut memilih MR DIY, Guan Chong, Farm Fresh dan Focus Point untuk diberikan perhatian serta menjangkakan keputusan kewangan sektor pengguna pada 4Q24 adalah di bawah jangkaan.
 

Pada suku terakhir itu, ia memotong saranan untuk Nestle kepada "jual" kerana menjangkakan tekanan kos input menghalang strategi syarikat berkenaan untuk mendapatkan semula bahagian pasaran.
 

RHB Research juga menaik taraf penarafan untuk Padini kepada "beli", kerana penilaiannya yang menarik selepas penjualan turun yang disifatkan tidak wajar. - DagangNews.com