Kenaikan berterusan 10% harga minyak mentah boleh ancam KDNK sebenar 0.2 mata peratusan — Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan berterusan 10% harga minyak mentah boleh ancam KDNK sebenar 0.2 mata peratusan — Maybank IB

Foto arkib AFP
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 MacMaybank IB menganggarkan kenaikan berterusan 10% harga minyak mentah boleh mengurangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar global sekitar 0.2 mata peratusan.


Firma penyelidikan tersebut berkata, keadaan tersebut disebabkan konflik di Timur Tengah yang berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi Malaysia jika gangguan bekalan minyak global berlarutan.
 

Keadaan berkenaan jelasnya, menjadi faktor kritikal yang perlu dipantau kerana ia dibimbangi boleh memberi impak langsung kepada harga minyak mentah dan kadar pertumbuhan ekonomi negara ini sendiri.


"Konflik yang bermula pada 28 Februari 2026, sudah menunjukkan tanda semakin memuncak, dengan laporan serangan terhadap kemudahan minyak dan gas di rantau itu," kata Maybank IB dalam notanya.


Jelasnya, risiko terbesar adalah gangguan kepada aliran bekalan minyak termasuk laluan perkapalan di Selat Hormuz yang mengurus satu perlima perdagangan minyak mentah dan produk petroleum dunia.


Gangguan terhadap pengeluaran dan penghantaran minyak di Timur Tengah tambahnya, boleh memberi kesan kepada bekalan, selain menimbulkan risiko keselamatan kepada kapal yang melalui selat itu.


Maybank IB menganggarkan kenaikan secara berterusan 10% harga minyak mentah boleh mengurangkan lagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar global sekitar 0.2 mata peratusan.


"Keadaan ini sekali gus dikhuatiri memberikan kesan limpahan negatif kepada ekonomi negara yang bergantung besar kepada perdagangan global seperti Malaysia," tambah firma penyelidikan tersebut.


Walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik, prestasi korporat tempatan bagi musim keputusan kewangan 4QFY25 kekal kukuh dengan 76% syarikat meraih keputusan menepati atau mengatasi jangkaan.


Tambah Maybank IB, dalam kalangan saham komponen indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI, sebanyak 87% syarikat melaporkan prestasi selari atau lebih baik daripada unjuran, diterajui sektor perbankan.
 

AFP
Foto arkib AFP


Sehubungan itu, ia mengekalkan pandangan positif terhadap sektor itu, dengan jangkaan pertumbuhan pendapatan 4.5% pada 2025 dan 5.7% pada 2026, selain potensi pembayaran dividen yang lebih tinggi.


"Kami juga mengekalkan fokus terhadap sektor yang berorientasikan domestik termasuk pengguna, pembinaan, penjagaan kesihatan, REIT serta tenaga boleh diperbaharui (RE)," jelasnya lagi.


Selepas musim keputusan kewangan terkini, Maybank IB meningkatkan sasaran indeks KLCI akhir 2026 kepada 1,780 mata berbanding 1,730 sebelum ini, dan senario optimis dinaikkan kepada 1,890 mata.


Bagaimanapun, firma tersebut memberi amaran bahawa perkembangan konflik di rantau Timur Tengah kekal sebagai risiko utama yang boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi global dan Malaysia.


Jelasnya, dalam senario yang negatif, FBMKLCI diramal boleh susut ke 1,550 mata sekiranya rekod pertumbuhan pendapatan korporat merosot sebanyak separuh daripada jangkaan semasa sebelum itu.


"Justeru, kami menaik saranan PETRONAS Chemicals Group Berhad kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM3.56 susulan lonjakan harga produk akibat gangguan bekalan di Timur Tengah," katanya.


Sementara itu, Press Metal Aluminium Holdings Berhad dijangka menerima manfaat sementara daripada premium harga aluminium susulan konflik geopolitik, namun kesan jangka panjangnya dijangka terhad.


Bagi sektor utiliti dan tenaga, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap MN Holdings Berhad susulan prospek pertumbuhan kukuh didorong projek naik taraf grid milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).


Selain itu, Maybank IB turut mengekalkan saranan sama terhadap Aurelius Technologies Berhad berikutan jangkaan peningkatan pengeluaran dan pertumbuhan pelanggan menjelang FY26. - DagangNews.com