KUALA LUMPUR 10 Mac — Prospek Mi Technovation Berhad kini dipacu isu kekurangan cip memori global yang ketara mendorong kenaikan harga purata jualan produk 'solder ball' atau bola pateri sehingga 100%.
Menurut Public Investment Bank, perkembangan yang positif tersebut sekali gus dijangka menjadi faktor pemangkin utama kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan teknologi berkenaan pada tahun ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan harga tersebut melibatkan model bola pateri berpaten syarikat yang pada kelazimannya digunakan secara meluas dalam industri semikonduktor antarabangsa.
"Perkembangan ini muncul ketika salah satu daripada tiga pengeluar cip memori terbesar dunia kini muncul sebagai antara lima pelanggan utama Mi Technovation," jelasnya dalam analisis hari ini.
Ia berikutan pengembangan agresif kapasiti pengeluaran bagi menangani kekurangan cip memori, dan permintaan kukuh dalam industri semikonduktor dijangka menyokong momentum pertumbuhan syarikat.
Berdasarkan situasi tersebut, pihak pengurusan Mi Technovation jelas PublicInvest, menyasarkan pertumbuhan sebanyak dua digit yang lebih kukuh pada tempoh suku pertama tahun kewangan 2026.
Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'outperform' terhadap saham kumpulan ini dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM4.35, berdasarkan unjuran penilaian 33 kali pendapatan sesaham FY26.

"Bagi FY25, pasaran utama jualannya ialah Taiwan menyumbang 39.1%, diikuti China (28.5%), rantau Asia Tenggara dan India (18.6%), serta gabungan Korea Selatan dan Jepun (7.6%)," kata firma itu.
Dari segi aplikasi, segmen mobiliti dan peranti boleh pakai kekal penjana terbesar dengan 72.2%, pengkomputeran berprestasi tinggi dan memori (22.2%) serta automotif dan tenaga boleh diperbaharui (5.6%).
Dalam segmen peralatan semikonduktor (SEBU), syarikat menghantar 151 unit peralatan sepanjang FY25 dengan siri Mi menyumbang 86.8%, termasuk model Mi Quantum merangkumi 42% daripada penghantaran.
Sementara itu, dalam segmen bahan semikonduktor (SMBU), kilang di Taiwan mencatat peningkatan pengeluaran 21.4% tahun ke tahun (YoY) dengan kadar penggunaan kapasiti dianggarkan melebihi 85%.
"Kami mendapati produk bola pateri berpaten seperti Cyclomax, iSAC dan AT35U pula menyumbang 56% daripada keseluruhan jualan bahan tersebut kepada Mi Technovation sendiri," kata PublicInvest.
Dalam perkembangan strategik, kumpulan itu turut memperkenalkan unit perniagaan baharu iaitu Vehicle Technologies Business Unit (VTBU) di bawah anak syarikatnya iaitu Ohima International.
Ia memberi tumpuan kepada pembangunan sistem 'powertrain' bagi trak elektrik berat, bas elektrik bersaiz besar serta jentera pembinaan seperti lori perlombongan, jentolak roda dan pengorek.
Menurut PublicInvest, sistem tersebut boleh menyumbang lebih daripada satu pertiga kos keseluruhan kenderaan, sekali gus menawarkan potensi pasaran yang besar kepada syarikat berkenaan.
"Bagi menyokong pertumbuhan masa hadapan, Mi Technovation merancang perbelanjaan modal AS$25 juta (RM100 juta) pada tahun ini dengan hampir 50% diperuntukkan kepada segmen SMBU," tambah firma itu.
Pembinaan kilang baharu berkapasiti 210,000 kilogram sebulan di Senai, Johor, juga berjalan mengikut jadual dengan operasi komersial disasarkan bermula pada 2027. - DagangNews.com








