Kemerosotan pelancong asing akibat konflik Timur Tengah jejaskan hasil rangkaian kedai Mynews | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kemerosotan pelancong asing akibat konflik Timur Tengah jejaskan hasil rangkaian kedai Mynews

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 7 April — Ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang menjejaskan kedatangan pelancong asing dan perbelanjaan pengguna dijangka memberi tekanan tinggi ke atas hasil Mynews Holdings Berhad.


Menurut CIMB Securities, kesan berkenaan dapat dilihat secara ketara apabila trafik pelanggan merosot di rangkaian kedai serbaneka syarikat itu dalam terminal lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara.


Bagaimanapun firma tersebut berpandangan impak itu bersifat sementara, dengan prospek hasil jangka sederhana adalah kekal positif disokong strategi pengembangan kedai dan penambahbaikan margin.


"Mynews menjangka trafik lebih perlahan daripada kebiasaan berikutan faktor luaran termasuk konflik Timur Tengah, yang memberi kesan kepada sentimen pengguna khususnya pelancong," katanya dalam nota.


Kumpulan peruncitan berkenaan jelas CIMB Securities, namun masih berkeyakinan kelemahan hasil jangka pendek itu akan diimbangi menerusi pelan pengembangan rangkaian kedai yang lebih agresif.


Kata firma penyelidikan itu, ia menyasarkan pembukaan kira-kira 100 cawangan baharu bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2026 (FY26), peningkatan 14.2% daripada sebanyak 702 kedai pada akhir FY25.


Berdasarkan situasi semasa, ia menjangkakan margin keuntungan Mynews akan bertambah baik bermula suku kedua FY26, didorong oleh normalisasi kos operasi dan ketiadaan kos berkaitan automasi.

 

Mynews_DagangNews


"Selain itu, usaha dalaman seperti pengoptimuman kos dan penambahbaikan campuran produk turut menyokong pengembangan margin, dibantu kesan skala daripada rangkaian kedai lebih besar," katanya.


CIMB Securities turut meramalkan fokus syarikat itu kepada produk sedia dimakan yang menawarkan margin lebih tinggi serta dijangka meningkatkan trafik kedai dan nilai perbelanjaan pelanggan.


Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut masih mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham Mynews dengan harga sasaran (TP) 12 bulan yang ditetapkan sebagai tidak berubah kepada 75 sen sesaham.


Di samping itu tambahnya, ia menilai saham syarikat berkenaan menarik pada penilaian 14.7 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi FY26, disokong profil pertumbuhan pendapatan yang kukuh.


"Kami turut mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) untuk keuntungan bersih teras mampu mencecah sebanyak 16.2% bagi tempoh tiga tahun dari FY25 hingga FY28," kata CIMB Securities.


Ujar firma tersebut, kekuatan jenama dan kedudukan kukuh Mynews dalam segmen kedai serbaneka tempatan sejak sekian lama menjadi sokongan utama kepada prestasi jangka panjang syarikat itu.


Secara keseluruhan, walaupun berdepan cabaran jangka pendek daripada faktor luaran, ia melihat kumpulan itu berada di landasan tepat untuk terus mencatat pertumbuhan mampan. - DagangNews.com