KUALA LUMPUR 18 Dis - Industri petrokimia global kini berada dalam fasa kemerosotan paling teruk dalam sejarah moden, didorong oleh permintaan yang lemah, lebihan kapasiti yang semakin meningkat serta kehilangan kuasa penetapan harga, menurut BIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata aktiviti pembuatan global yang perlahan menandakan permintaan rendah daripada pembeli, manakala kemasukan kapasiti baharu terus menekan pasaran walaupun beberapa fasiliti lama dan tidak ekonomik ditutup, khususnya di Korea Selatan dan Jepun.
“Ini bukan kemerosotan kitaran biasa, sebaliknya satu penetapan semula sekali dalam satu generasi. Hanya pengeluar berkos terendah dengan akses kepada pasaran pengguna akhir yang besar mampu bertahan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
BIMB seterusnya memetik anggaran pakar industri yang menunjukkan lebihan kapasiti etilena global sebanyak 12 hingga 14 juta tan telah menurunkan kadar penggunaan “cracker” kepada sekitar 75% hingga 79%, jauh di bawah paras sihat jangka panjang kira-kira 87%.
Pada masa sama, etilena dan propilena dijangka terus mencatat pertumbuhan kapasiti yang tinggi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang walaupun permintaan pengguna akhir menunjukkan tanda-tanda kelembapan.
ICIS, sebuah perkhidmatan risikan komoditi bebas, memberi amaran bahawa sekiranya industri etilena terus menambah kapasiti pada kadar sejarah sekitar 6.2 juta tan setahun, kadar penggunaan berkemungkinan kekal pada paras pertengahan hingga tinggi 70% bagi sepanjang dekad ini, sekali gus mengunci industri dalam tempoh kemerosotan yang berpanjangan.
BIMB Securities turut berpandangan bahawa industri petrokimia telah tersilap menganggarkan trajektori pertumbuhan jangka panjang China dan pasaran sedang membangun lain.
Kapasiti sebelum ini dibina berasaskan andaian pertumbuhan permintaan tahunan 6% hingga 8%, namun pasca pandemik COVID-19 dan dengan kelembapan ekonomi China, kadar pertumbuhan yang lebih realistik kini dianggarkan sekitar 1% hingga 4%.
Sehubungan itu, BIMB Securities mengekalkan saranan NEUTRAL ke atas sektor tersebut dan menasihatkan pelabur supaya memantau perkembangan rasionalisasi kapasiti dalam kalangan pengeluar utama di Eropah, Jepun dan Korea Selatan, yang boleh menjadi petunjuk perubahan sentimen terhadap saham-saham industri.
Dari sudut bahan mentah, firma penyelidikan itu berkata pengeluar berasaskan nafta dijangka terus berdepan tekanan margin, manakala pemain berasaskan gas berada dalam kedudukan yang lebih baik berikutan struktur kos yang lebih rendah.
Bagi syarikat tempatan, BIMB Securities mengekalkan saranan PEGANG ke atas Petronas Chemicals Group Bhd dengan harga sasaran RM3.25 sesaham, disokong oleh kedudukan tunai kukuh kumpulan sebanyak RM9.7 bilion yang memberi daya tahan untuk mengharungi keadaan pasaran yang mencabar.
Firma itu menjangkakan Petronas Chemicals akan kekal mencatatkan kerugian bagi satu hingga dua suku tahun lagi, namun dengan kadar kerugian yang semakin mengecil, didorong oleh prestasi positif fasiliti berasaskan gas, khususnya dalam segmen baja dan metanol.
Sebaliknya, BIMB Securities memberi amaran Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCTitan) berdepan risiko ketara susulan hutang yang tinggi, kerugian berterusan dan rizab tunai yang semakin menyusut.
Menurutnya, LCTitan telah mencatatkan 14 suku berturut-turut kerugian dan membakar RM1.1 bilion tunai dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, meninggalkan baki tunai sekitar RM1.15 bilion.
“Pada kadar semasa, kumpulan ini hanya mempunyai kecairan untuk dua hingga tiga suku tahun lagi melainkan berlaku pemulihan operasi yang ketara,” katanya sambil menambah bahawa firma itu tidak mempunyai saranan terhadap saham syarikat berkenaan. - DagangNews.com








