KUALA LUMPUR 6 April – Kerjaya Prospek Berhad mencatat langkah penting apabila memperoleh projek pembinaan hospital swasta bernilai RM98.8 juta di Seremban 2, Negeri Sembilan kerana ia adalah kali pertama syarikat itu memasuki sektor kesihatan berbanding fokus sebelum ini kepada pembangunan kediaman, kata penganalisis.
RHB Research berkata projek hospital pertama ini dijangka mengukuhkan lagi reputasi Kerjaya Prospek dalam sektor pembinaan apabila membuktikan kemampuan mengendalikan projek yang lebih kompleks dan bernilai tinggi berbanding pembangunan kediaman sebelum ini.
“Selain itu, projek hospital bernilai RM98.8 juta itu dijangka turut menambah aliran pendapatan dan memperkukuh kewangan syarikat dan membuka peluang untuk Kerjaya Prospek terlibat dalam projek kesihatan atau industri lain pada masa hadapan.
“Kepelbagaian projek ini berpotensi menjadi pemangkin kepada kenaikan harga saham dan meningkatkan daya saing Kerjaya Prospek dalam pasaran pembinaan,” kata RHB Research dalam nota kajiannya hari ini.
Setakat tahun kewangan 2026, Kerjaya Prospek telah memenangi tiga projek dengan jumlah kontrak baru RM802 juta, iaitu 40% daripada sasaran tahunan RM2 bilion. Baki pesanan sedia ada pula dianggarkan RM4.3 bilion.
RHB Research mengekalkan cadangan beli untuk saham Kerjaya Prospek dengan harga sasaran RM3.11 berbanding harga semasa RM2.15, menawarkan potensi kenaikan sekitar 45% berserta dividen FY26 kira-kira 6%.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerjaya Prospek peroleh kontrak hampir RM99 juta bina hospital swasta di Seremban 2
Firma penyelidikan itu berkata walaupun tiada pelancaran projek hartanah dijangka pada 89 ekar tanah KPG tahun ini, penyempurnaan projek The Vue dan Papyrus bakal menambah sokongan kewangan untuk cabang hartanah syarikat sebelum pelancaran projek di Jalan Puchong dan Tanjung Bungah tahun hadapan.
Bagaimanapun, risiko yang dikhuatiri menjejaskan Kerjaya Prospek ialah kelembapan pasaran hartanah dan kenaikan kos bahan binaan, terutama akibat ketidaktentuan global.
Sementara itu, Public Investment Bank berkata projek ini dijangka menyumbang purata 1.8% kepada keuntungan tahunan Kerjaya Prospek sepanjang tempoh kontrak yang selaras dengan anggarannya bahawa projek tersebut akan menambah kira-kira RM4.9 juta setahun kepada keuntungan syarikat bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027, dengan margin untung sekitar belasan peratus.
“Dengan projek baharu ini, baki kontrak Kerjaya Prospek kini dianggarkan mencecah RM4.3 bilion, menyediakan ketahanan pendapatan bagi dua hingga tiga tahun akan datang. Projek ini sudah termasuk dalam anggaran pengisian semula baki kontrak syarikat untuk tahun kewangan 2026, justeru tidak menjejaskan ramalan keuntungan sedia ada.
“Kami mengekalkan unjuran harga sasaran 12 bulan bagi saham syarikat pada RM3.10, berbanding harga semasa RM2.15 dengan jangkaan potensi pulangan sebanyak 44.2%,” katanya.
Firma penyelidikan itu juga mengekalkan penarafan Outperform terhadap saham Kerjaya Prospek, menandakan prestasi saham dijangka melebihi purata pasaran. - DagangNews.com








