Kerjaya Prospek peroleh kontrak hampir RM99 juta bina hospital swasta di Seremban 2 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjaya Prospek peroleh kontrak hampir RM99 juta bina hospital swasta di Seremban 2

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 April – Kerjaya Prospek Group Berhad (KPGB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd. (KPM) memperoleh kontrak daripada Sena Letrik (M) Sdn. Bhd. (SLSB) untuk projek pembinaan hospital swasta di Seremban.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kerjaya Prospek berkata, kontrak yang diterima bernilai hampir RM99 juta, iaitu sebanyak RM98.78 juta yang melibatkan kerja-kerja bangunan utama, mekanikal dan elektrik serta kerja luaran di tapak projek.

 

“Hospital swasta yang bakal dibina terdiri daripada satu blok bangunan 8 tingkat dan satu tingkat bawah tanah.

 

“Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula serta-merta dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dari tarikh mula, menjadikannya salah satu projek utama dalam portfolio KPM,” kata Kerjaya Prospek dalam makluman tersebut.

 

Syarikat itu menjelaskan kontrak ini dijangka memberi impak positif terhadap pendapatan dan aset bersih syarikat, selain menambah aliran pendapatan untuk tempoh kewangan 2026 hingga 2027.

 

Selain itu, kontrak ini turut menyumbang kepada peningkatan buku tempahan sedia ada KPM, mengukuhkan kedudukan syarikat dalam sektor pembinaan hospital dan projek infrastruktur perubatan.

 

Syarikat menegaskan bahawa kontrak ini tidak akan memberi kesan terhadap modal saham KPGB, namun dijangka menyumbang kepada pertumbuhan keuntungan dan aset bersih sesaham.

 

Dalam aspek kepentingan, KPGB menyatakan tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu berkaitan yang mempunyai kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak ini. - DagangNews.com