KUALA LUMPUR 19 Dis – Kelstone Sdn Bhd bersama Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menjalin kerjasama menilai potensi sumber nadir bumi di kawasan terpilih di Kelantan.
Kelstone adalah syarikat di bawah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan yang terlibat dalam pembangunan sumber mineral di negeri itu.
JOGMEC pula adalah agensi pentadbiran berkanun di bawah Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun dengan pengalaman luas di peringkat global dalam penerokaan nadir bumi dan penilaian sumber.
MoA tersebut disokong oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di bawah rangka kerja Memorandum Kerjasama ECERDC–JOGMEC yang menyokong kolaborasi tersusun untuk pembangunan nadir bumi secara mampan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Dalam satu kenyataan, ECERDC memaklumkan Kelstone dan JOGMEC akan melaksanakan program tinjauan yang dipersetujui untuk menilai potensi teknikal serta aspek penting bagi pembangunan bertanggungjawab, selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa.
ARTIKEL BERKAITAN: ECERDC, agensi dari Jepun bekerjasama teroka pembangunan REE di Pantai Timur
“Jawatankuasa pengurusan bersama akan mengawasi pelaksanaan dengan ECERDC turut serta sebagai pemerhati.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memajukan penerokaan nadir bumi secara bertanggungjawab, mengukuhkan hubungan kerjasama Malaysia–Jepun serta menyokong pembangunan rantaian nilai nadir bumi yang mampan selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus,” katanya.
Inisiatif ini menandakan langkah penting dalam merealisasikan potensi nadir bumi negeri Kelantan dan pada masa sama memastikan aktiviti penerokaan dan pembangunan masa depan dijalankan dengan telus, mampan dan selaras dengan objektif pembangunan nasional serta wilayah.
Wilayah Ekonomi Pantai Timur merangkumi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang serta daerah Mersing dan Segamat di Johor.
ECERDC merupakan badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur, memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi serta mempromosi dan memudahkan pelaburan di wilayah ini.
Wilayah ECER meliputi keluasan lebih 69,000 kilometer persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia dan menempatkan kira-kira 5 juta penduduk, iaitu sekitar 15% daripada jumlah penduduk negara. - DagangNews.com








