ECERDC, agensi dari Jepun bekerjasama teroka pembangunan REE di Pantai Timur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ECERDC, agensi dari Jepun bekerjasama teroka pembangunan REE di Pantai Timur

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memeterai kerjasama dengan Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC) bagi memperkukuh kerjasama teknikal dalam penerokaan dan pembangunan industri nadir bumi (REE) serta mineral kritikal di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

 

Kerjasama itu adalah satu langkah penting dalam usaha Malaysia memajukan rantaian nilai REE secara menyeluruh, selari dengan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober lalu bahawa Malaysia bersedia menjalin kerjasama erat dengan Jepun dalam sektor mineral strategik dari peringkat huluan hingga hiliran.

 

Wilayah ECER merangkumi tiga negeri Pantai Timur iaitu Terengganu yang dianggarkan memiliki rizab REE sebanyak 7.19 tan diikuti Kelantan (2.56 tan) dan Pahang (1.4 juta tan).

 

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, di bawah Pelan Pembangunan ECER 2026–2030, sektor mineral dikenal pasti sebagai pemacu strategik bagi menarik pelaburan bernilai tinggi.

 

“ECERDC kini giat memposisikan ECER sebagai hab utama REE negara, didorong oleh kekuatan sumber semula jadi di mana hampir 70% rizab REE Malaysia berada di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

 

“Walaupun mempunyai potensi besar, industri nadir bumi masih berdepan cabaran seperti kos penerokaan terperinci yang tinggi dan keperluan data sumber yang lebih tepat.

 

“Melalui MoC ini, ECERDC bakal memanfaatkan kepakaran global JOGMEC — agensi di bawah Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun dalam penerokaan geologi, verifikasi sumber dan penilaian mineral,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kerjasama tersebut merangkumi aktiviti penerokaan dan penilaian sumber, pertukaran ilmu dan teknologi, pembangunan kapasiti serta penyelarasan bersama kerajaan negeri dan persekutuan bagi memastikan pelaksanaan selaras dengan dasar nasional.

 

Beliau berkata, fasa awal dijangka bermula di Kelantan dalam masa terdekat.

 

“ECER mempunyai asas sumber dan kesiapsiagaan industri untuk muncul sebagai koridor REE terkemuka Malaysia.

 

“Kerjasama bersama JOGMEC ini akan mengukuhkan keupayaan huluan kita bagi memastikan pembangunan industri dijalankan secara bertanggungjawab, kompetitif dan mampan,” katanya.

 

Beliau menyifatkan kerjasama itu tepat pada masanya ketika ekosistem pertengahan dan hiliran REE di ECER menunjukkan kemajuan pesat.

 

“Lynas Malaysia telah meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunannya daripada 7,200 tan kepada 10,800 tan dan merancang untuk memproses sehingga 5,000 tan nadir bumi berat setahun menggunakan sumber tempatan.

 

“Dalam segmen hiliran, ECER bakal melangkah ke fasa lebih maju dengan cadangan pembinaan kilang pembuatan magnet kekal neodymium-iron-boron (NdFeB) di Kuantan oleh Lynas Malaysia dan JS Link dari Korea Selatan,” katanya.

 

Loji bernilai RM600 juta dengan kapasiti 3,000 tan setahun itu disasarkan mula beroperasi sekitar 2027.

 

Pembangunan loji tersebut dijangka menjadi pemangkin utama dalam mewujudkan rantaian bekalan REE bersepadu di ECER, dari perlombongan huluan yang mampan, pemprosesan pertengahan sehingga pembuatan hiliran berteknologi tinggi.

 

MoC ini berkuat kuasa serta-merta dan sah sehingga 31 Mac 2028, dengan pelaksanaan aktiviti bersama ditentukan berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak. - DagangNews.com