Kelemahan yen perkukuh margin untung kereta Jepun diimport Bermaz Auto, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelemahan yen perkukuh margin untung kereta Jepun diimport Bermaz Auto, kata Maybank IB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 Mac – Kelemahan nilai yen memberi kelebihan margin keuntungan model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun yang dijual oleh Bermaz Auto Berhad, menurut Maybank Investment Bank.


Perkembangan positif itu jelas firma penyelidikan tersebut, sekali gus menyokong usaha pemulihan prestasi kewangan kumpulan berkenaan dalam persekitaran pasaran automotif yang semakin kompetitif.


Katanya, pergerakan mata wang Jepun itu meningkatkan keuntungan bagi model Mazda yang diimport ke Malaysia, selain disokong trend pemulihan permintaan serta pengembangan barisan model baharu.


"Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Bermaz Auto dengan harga sasaran (TP) 95 sen, berdasarkan penilaian 11 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY27," kata Maybank IB.


Menurut firma berkenaan dalam nota analisisnya, prospek dividen syarikat tersebut juga kekal kukuh dan tidak menolak kemungkinan akan diumumkan pula pembayaran dividen khas pada suku keempat FY26.


Tambahnya, ia menjangkakan potensi dividen khas tersebut berikutan dasar pembayaran dividen kumpulan itu kini disokong oleh operasi teras tanpa mengambil kira kerugian syarikat bersekutu.


Langkah itu jelas Maybank IB, berpotensi meningkatkan kadar pembayaran dividen melebihi andaian semasa 75%, sekali gus menawarkan hasil dividen sekitar 6% hingga 10% kepada pelabur sahamnya.


Permintaan Mazda pulih, tempahan meningkat


"Selain itu, tempahan bagi model Mazda di Malaysia meningkat ketara kepada sekitar 3,800 unit, berbanding hanya kira-kira 1,500 unit ketika paras paling rendah dicatatkan sebelum ini," katanya.


Peningkatan itu dipacu permintaan kukuh bagi Mazda 3 dengan kira-kira 2,500 tempahan dan model CX-60 yang mencatat 200 tempahan selepas pelancarannya pada September hingga Oktober 2025 lalu.


Maybank IB menambah, kejayaan pelancaran versi CX-5 baharu meningkatkan jualan pada suku ketiga FY26 dan dijangka diikuti model CX-30 bagi mengekalkan momentum pemasangan tempatan (CKD) pula.


Ketika ini jelas firma berkenaan, operasi Bermaz Auto mengekalkan nisbah 50:50 antara model CKD dan CBU, dengan sasaran jangka panjang untuk meningkatkan komposisi CKD kepada kira-kira 70%.


"Syarikat ini juga difahamkan sedang menilai pengenalan varian model Mazda 3 dengan enjin 2.0 liter yang lebih mampu milik bagi merangsang permintaan pasaran automotif domestik," katanya.
 

Bermaz


Model baharu sokong pertumbuhan jualan


Dalam tempoh sederhana tambah Maybank IB, pertumbuhan jualan kumpulan berkenaan dijangka dipacu oleh pelancaran pelbagai lagi model baharu Mazda dan jenama kenderaan elektrik (EV) iaitu XPeng.


Antara model yang sedang dirancang termasuk Mazda CX-5 baharu enjin 2.5 liter yang dilancarkan pada 2QFY27, selain kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B berharga bawah RM110,000 pada FY28.


Model baharu tersebut kata firma penyelidikan berkenaan, berpotensi untuk menjadi model volum tinggi dengan sasaran jualan sekitar 5,000 hingga 6,000 unit setahun apabila memasuki pasaran.


"Faktor tersebut dijangka dapat menyokong sasaran jualan kumpulan tersebut sekitar 16,000 unit sepanjang FY27, iaitu peningkatan kira-kira 13% tahun ke tahun (YoY)," kata Maybank IB lagi.


Operasi syarikat bersekutu semakin pulih


Firma itu turut melihat tanda pemulihan dalam operasi syarikat bersekutu Bermaz Auto, antaranya termasuk operasi Inokom yang kembali mencatat keuntungan, dan pemulihan operasi Mazda Malaysia.


Tambahnya, perkembangan tersebut dapat dinilai dengan ketara melalui pengembangan pemasangan banyak model CKD serta pendedahan ekuiti yang dilihat semakin kecil terhadap operasi Kia Malaysia.


Sehubungan itu, Maybank IB percaya tempoh terendah prestasi syarikat sudah berlalu dengan tahap tempahan kini paras tertinggi dalam beberapa suku dengan keterlihatan dua hingga tiga bulan.


"Gabungan pemulihan jualan, margin lebih kukuh serta prospek dividen yang menarik terus menyokong pandangan positif terhadap saham Bermaz Auto," katanya. - DagangNews.com