KUALA LUMPUR 25 Mac — Ta Ann Holdings Berhad kekal berdepan cabaran dalam segmen kayu balak dan papan lapis akibat kelemahan tukaran mata wang asing, kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Bagaimanapun tambah firma penyelidikan tersebut, kekuatan perniagaan perladangan sawit dan hasil dividen yang menarik dijangka terus menyokong prestasi kumpulan berkenaan bagi jangka sederhana.
Justeru jelasnya, walaupun perniagaan kayu dijangka melalui satu lagi tahun mencabar, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan prospek kukuh harga minyak sawit mentah (MSM)
"Pengurusan Ta Ann menyasarkan pertumbuhan purata tahunan tandan buah segar (TBS) 7.5% dalam tempoh lima tahun, didorong perluasan kawasan matang dan peningkatan hasil," ujar PublicInvest.
Selain itu tambahnya dalam nota analisis hari ini, kumpulan tersebut juga menyasarkan hasil TBS mencecah 22.11 tan sehektar menjelang 2030, meningkat berbanding 16.95 tan sehektar pada 2025.
Sehubungan itu, ia menaikkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 antara 11% hingga 21%, disokong panduan pertumbuhan TBS kukuh serta semakan naik hasil Sarawak Plantation.
Pada masa sama, PublicInvest turut menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM6.42 daripada RM5.64, dengan saranan 'outperform' ke atas saham Ta Ann masih lagi dikekalkan buat masa ini.
"Bagi tahun kewangan 2025, pengeluaran TBS naik 3% tahun ke tahun (YoY) kepada 686,538 tan, paras tertinggi sejak 2022, manakala hasil TBS bertambah baik kepada 16.95 tan sehektar," jelasnya.
Sementara itu tambah firma penyelidikan berkenaan, kadar perahan minyak (OER) juga mencatatkan peningkatan kepada 20.1%, tertinggi sejak 2018, mencerminkan kecekapan operasi yang lebih baik.

Setakat akhir FY25, keluasan tanaman Ta Ann mencecah 48,257 hektar dengan 89% terdiri kawasan matang, dan purata umur ladang sekitar 13 tahun, menunjukkan keperluan program penanaman semula.
Dalam segmen kayu kata PublicInvest, pengeluaran balak meningkat 13.3%, manakala pengeluaran papan lapis melonjak 29%, namun harga jualan bagi kedua-dua produk menurun masing-masing 2.4% dan 10%.
"Kami mendapati harga produk ini terjejas disebabkan penyusutan dolar Amerika Syarikat (AS) serta yen Jepun yang melemah berbanding ringgit di pasaran tukaran mata wang asing (forex)," jelasnya.
Pada masa sama, firma penyelidikan tersebut menjangkakan tekanan secara berterusan dalam segmen kayu balak dan papan lapis, khususnya dengan unjuran pengeluaran balak yang menyusut 17% YoY.
Bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Jepun, Ta Ann mempelbagaikan eksport papan lapis ke Yaman, selain berusaha menambah baik kecekapan operasi termasuk menggantikan jentera lama.
Dalam segmen perladangan pula jelas Public Invest, pengeluaran TBS dijangka berkembang kira-kira 13% YoY, dengan disokong faktor tambahan kawasan matang baharu yang berkeluasan 2,170 hektar.
"Kumpulan juga merancang membina kilang minyak sawit baharu berkapasiti 45 tan sejam yang dijangka mula beroperasi pada 2028, bagi meningkatkan kapasiti pemprosesan kepada 1.9 juta tan," tambahnya.
Firma itu turut menyatakan saham Ta Ann kini diniagakan pada penilaian kurang 10 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) hadapan, yang dianggap tidak mencerminkan potensi pertumbuhan kumpulan.
Selain itu, hasil dividen sekitar 8% dilihat antara yang tertinggi di pasaran, menjadikan saham tersebut lebih menarik dalam kalangan pelabur berorientasikan pendapatan. - DagangNews.com








