KUALA LUMPUR 3 Mac – Kelemahan segmen perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) serta permintaan telefon pintar yang masih lembap terus menjadi isu kritikal yang membelenggu pretasi sektor teknologi.
Penganalisis turut menilai tekanan margin akibat pergerakan mata wang asing (forex), walaupun kitaran pemulihan semikonduktor dan permintaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) adalah kekal utuh.
Dua firma penyelidikan, dalam nota berasingan menyifatkan prestasi kewangan bagi suku keempat FY25 sebagai bercampur-campur, namun menjangkakan momentum pertumbuhan berterusan memasuki FY26.
RHB Research mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor teknologi selepas majoriti keputusan kewangan 4Q25 dalam jangkaan, dengan enam syarikat mencatat prestasi selari unjuran.
"Bagaimanapun, ada lima syarikat yang terlepas sasaran termasuk Cloudpoint Technology Berhad, Cnergenz Berhad, JHM Consolidation Berhad, SKP Resources Berhad dan VS Industry Berhad," katanya.
Situasi tersebut jelas firma berkenan, disebabkan faktor jualan yang lebih lemah, tekanan margin serta bentuk perniagaan campuran produk dilihat sebagai tidak menyebelahi kepada syarikat itu.
Kata RHB Research, Coraza Integrated Technology Berhad muncul satu-satunya syarikat teknologi yang mengatasi jangkaan, disokong pengembangan margin berskala ekonomi dengan pertumbuhan hasil kukuh.
Secara keseluruhan, keuntungan teras sektor itu meningkat 1.3% tahun ke tahun (YoY) dan 28.1% suku ke suku (QoQ), tetapi firma tersebut mengurangkan unjuran pendapatan agregat FY26 sebanyak 7.9%.
"Penurunan ini susulan semakan ke atas SKP Resources Berhad dan Unisem Berhad, namun kami menaik taraf Inari Amertron Berhad dan Pentamaster Corporation Berhad kepada saranan ‘beli’," katanya.
Tambah RHB Research, ia berikutan penilaian menarik selepas pembetulan harga saham serta jangkaan pertumbuhan kukuh menjelang 2H26 dan FY27 dipacu pembungkusan lanjutan dan automasi berasaskan AI.
Firma berkenaan menjangkakan pertumbuhan pendapatan sektor teknologi mampu melebihi 40% pada FY26, disokong pengembangan hasil, leverage operasi dan pemulihan rantaian bekalan semikonduktor.
Ia bagaimanapun memberi amaran mengenai risiko utama termasuk kenaikan harga memori yang boleh menjejaskan pengeluaran elektronik pengguna, turun naik forex, tekanan kos dan risiko tarif.
"Antara saham pilihan utama kami yang wajar diberikan fokus bagi sektor ini ialah Malaysian Pacific Industries Berhad, CTOS Digital Berhad, Coraza dan JHM Consolidation," kata RHB Research.
Sementara itu, MBSB Research memberi tumpuan lebih kepada prestasi pemain pemasangan dan ujian semikonduktor luar (OSAT), dengan Inari dan Unisem mencatat keputusan mengecewakan pada 4QCY25.
Menurut firma penyelidikan berkenaan, Inari dikenal pasti masih lagi terkesan akibat kelembapan pasaran telefon pintar antarabangsa memandangkan lebih 60% pergantungannya kepada segmen tersebut.
Unisem pula jelasnya, terus berdepan dengan tekanan daripada operasi kilangnya di Ipoh yang masih dalam tempoh peralihan susulan pemindahan aktiviti pengeluaran ke kilang baharu di Gopeng.
"Bagi pengeluar LED automotif iaitu D&O Green Technologies Berhad, FY25 dilihat sebagai tahun ‘semakan semula’ susulan persekitaran mencabar industri automotif global," kata MBSB Research.
Ini termasuk pelarasan inventori ketara, namun ia menaik taraf saham itu kepada ‘neutral’ daripada ‘jual’ selepas menilai sentimen negatif yang sudah banyak kali diambil kira dalam harga semasa.
Dalam perkembangan berasingan, Zetrix AI Berhad terus mencatat pertumbuhan dua digit, didorong yuran perkhidmatan aplikasi Web3 di platform rantaian blok Zetrix serta jualan token digital.
Secara keseluruhan, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran jangka pendek khususnya dalam segmen EMS dan OSAT, MBSB Research masih berpandangan yang asas sektor teknologi adalah kekal kukuh.
Keadaan tersebut disokong dengan pemangkin utama datang daripada pemulihan semikonduktor, permintaan AI dan peningkatan kompleksiti ujian serta automasi. - DagangNews.com








