KUALA LUMPUR 29 April — Kelantan mengukuhkan kedudukannya untuk muncul sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) setelah negeri itu berjaya mencatatkan pelaburan keseluruhan berjumlah RM1.21 bilion.
Pencapaian itu direalisasikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) apabila mampu melaksanakan pelbagai program transformasi Kelantan sebagai hab perindustrian yang semakin menyerlah dengan kemajuan ketara.
Antara penyumbang utama ialah projek Loji Janakuasa Hidro Mini 84 MW di Kuala Krai yang telah memulakan kerja tanah, serta pembangunan Pusat 3S Automotif (Jualan, Servis dan Alat Ganti) di Pasir Mas yang bakal beroperasi pada akhir 2025.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kedua-dua projek berimpak tinggi itu dijangka mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan yang berkualiti selaras dengan agenda pembangunan inklusif ECERDC.
“Ia melepasi sasaran tahunan dan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER Kelantan pertama 2025.
Pelaburan itu, khususnya sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), memperlihatkan kesediaan Kelantan menarik pembangunan berskala besar selain dijangka mewujudkan lebih 650 peluang pekerjaan dan keyakinan pelabur terhadap potensi jangka panjang.
Pada masa sama katanya, kemajuan ketara turut dicatatkan dalam pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu apabila kerja-kerja komponen utama struktur kabel merentasi Sungai Kelantan dimulakan pada April 2025 dan dijangka siap seperti dirancang.
Jambatan ini berfungsi sebagai laluan strategik menghubungkan pusat bandar dan kawasan pembangunan baharu serta mengurangkan kesesakan trafik terutama di Jambatan Sultan Yahya Petra, selain meningkatkan kecekapan pergerakan antara zon ekonomi negeri ini.
"Ia dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan di daerah Tumpat dan Kota Bharu serta menggalakkan pertumbuhan aktiviti merentasi pelbagai sektor seperti pelancongan dan logistic di sekitar Pusat Bandar Kota Bharu," kata Mohd Nassuruddin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, pelaburan yang telah direalisasikan pada suku pertama 2025, dibentuk oleh sektor pembuatan dan tenaga boleh diperbaharui, serta mula memberi impak positif kepada komuniti setempat.
Dalam usaha untuk memperkukuhkan taraf sosiekonomi luar bandar, ECERDC turut melaksanakan Program Usahawan Tani di Machang dengan memeterai perjanjian kerjasama bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan dan Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Awang.
Projek fertigasi cili yang menggunakan teknologi pintar seluas 24 hektar itu dijangka mula beroperasi pada suku ketiga 2025 dan menyasarkan pendapatan mampan bulanan sehingga RM2,000 kepada 100 peserta melalui amalan pertanian moden
"Di bawah Projek Pengukuhan Industri Tenusu Kambing Kelantan, ECERDC menyiapkan dua Pusat Pengumpulan Susu Kambing di Ketereh dan Pasir Puteh, lengkap kemudahan fasiliti pengeluaran makanan ternakan bagi menjamin kualiti serta bekalan lebih baik," katanya.
Inisiatif ini tambah beliau, bertujuan meningkatkan pengeluaran susu segar tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import, serta memperkukuh tahap sara diri industri tenusu negeri selain membuka peluang kepada penternak meningkatkan pendapatan. - DagangNews.com








