Kelantan sudah miliki pelan pembangunan REE bernilai tinggi - Timbalan Menteri Besar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelantan sudah miliki pelan pembangunan REE bernilai tinggi - Timbalan Menteri Besar

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov – Kelantan menegaskan sudah mempunyai perancangan tersusun dalam pembangunan industri nadir bumi (rare earth elements, REE), termasuk penerokaan, pemprosesan dan pengeluaran produk bernilai tinggi.

 

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, banyak syarikat antarabangsa menawarkan kerjasama membina kilang pemprosesan dan pusat teknologi di negeri itu setakat ini.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Lynas, salah satu syarikat utama dunia dalam pemprosesan nadir bumi. 

 

“Langkah-langkah ini menunjukkan bahawa Kelantan mampu mengurus hasil bumi sendiri dan sudah mempunyai rakan industri yang diyakini. 

 

“Kelantan berhak memilih rakan industri yang memberikan manfaat terbaik kepada negeri dan rakyat. Hak untuk menentukan dengan siapa kita bekerjasama, harga jualan dan syarat perniagaan adalah hak kerajaan negeri.

 

“Kami tidak mahu hak ini diambil melalui perjanjian antarabangsa yang dibuat tanpa rundingan dengan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Baru-baru ini, empat negeri yang diperintah PAS iaitu Terengganu, Kedah, Perlis dan Kelantan mengeluarkan kenyataan bersama yang mendakwa 70% deposit REE negara terdapat di 4 negeri tersebut.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu, Kelantan, Kedah & Perlis dakwa miliki 70% sumber REE negara, tuntut pembahagian hasil lebih adil 

 

Kenyataan itu diterbitkan susulan kebimbangan mengenai perjanjian perdagangan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat berhubung kuasa menentukan siapa pembeli, jumlah kuota eksport dan harga jualan akan dimuktamadkan oleh Putrajaya atau Washington. 

 

Tambahnya, Kelantan tidak mahu nasib menimpa mereka dalam isu royalti berulang kembali melibatkan REE.

 

Beliau menegaskan Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa segala sumber mineral di dalam sempadan negeri adalah hak milik negeri. 

 

“Ini bermakna segala aktiviti perlombongan, pelesenan dan pemilihan rakan industri mesti mendapat kebenaran dan kawalan kerajaan negeri. 

 

“Namun perjanjian Malaysia dengan Amerika Syarikat bertarikh 26 Oktober 2025 telah memasukkan satu klausa yang sangat membimbangkan negeri-negeri pengeluar termasuk Kelantan,” katanya.

 

Beliau berkata, klausa tersebut berbunyi: “Malaysia shall refrain from banning, or imposing quotas on, exports to the United States of critical minerals or rare earth to the expedient development of its critical minerals and rare earths sectors in partnership with U.S. companies, including granting extended operating licenses to create certainty for businesses to increase production capacity. 

 

Malaysia shall ensure no restrictions are imposed on the sale of rare earth magnets to U.S. companies.

 

Beliau berkata, dalam bahasa mudah, klausa ini bermaksud Malaysia tidak boleh melarang atau mengehadkan eksport nadir bumi ke Amerika Syarikat, mesti membenarkan syarikat AS terus melabur dan melombong di sini, serta tidak boleh mengenakan sekatan ke atas penjualan kepada syarikat Amerika. 

 

“Kata kunci “shall” dalam undang undang perdagangan membawa maksud perintah wajib, bukan pilihan. Jadi apabila perjanjian menyatakan “Malaysia shall refrain”, ia bermaksud Malaysia wajib patuh, dan jika tidak, ia dianggap melanggar perjanjian. 

 

“Apabila perkara seperti ini ditandatangani tanpa perbincangan rasmi dengan negeri pengeluar, maka jelas bahawa hak negeri telah diketepikan,” katanya. - DagangNews.com