KUALA LUMPUR 30 Okt – Majlis Menteri Besar SG4 yang dianggotai Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis menegaskan pendirian mereka untuk memastikan kerajaan Persekutuan tidak mengambil alih pengurusan sumber mineral nadir bumi (REE) tanpa persetujuan rasmi empat kerajaan negeri tersebut.
Gabungan itu juga menuntut model pembahagian ekonomi yang lebih besar, adil dan telus yang tidak hanya terhad kepada bayaran royalti semata-mata seperti petroleum sebelum ini.
Majlis Menteri Besar SG4 berkata, REE yang berada dalam sempadan negeri adalah hak kerajaan negeri seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
Gabungan itu mendakwa empat negeri tersebut mewakili kira-kira 70% sumber REE negara.
"Kami komited memastikan kekayaan ini diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat serta generasi akan datang.
“Setiap negeri SG4 sedang melaksanakan kajian terperinci serta membangunkan pelan strategik pengurusan dan pembangunan REE.
“Pelan itu merangkumi eksplorasi, perlombongan lestari, pengurusan alam sekitar, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan.
“Ia juga memastikan mineral kritikal kekal dalam wilayah SG4 serta membuka peluang penyertaan industri dan pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya gabungan itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Kenyataan tersebut ditandatangani Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri;Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

SG4 turut menyatakan sokongan terhadap aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan keseluruhan ekosistem industri REE dari huluan hingga hiliran, termasuk penerokaan, pemprosesan dan pengeluaran produk bernilai tambah tinggi.
Namun, gabungan itu menegaskan bahawa sebarang perancangan nasional tidak boleh dibuat tanpa libat urus rasmi dengan kerajaan negeri pemilik sumber.
“SG4 sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati.
“Namun pengalaman lampau berhubung perjanjian royalti minyak tidak boleh berulang dalam konteks industri REE,” kata kenyataan itu.
SG4 berkata, pembangunan industri REE perlu dilaksanakan di negeri sumber bagi memastikan limpahan ekonomi dirasai rakyat setempat.
Selain royalti, empat negeri tersebut menuntut model baharu melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi.
Gabungan itu turut menuntut agar negeri yang memiliki sumber dibabitkan pada setiap peringkat perancangan, pelaksanaan dan rundingan antarabangsa berkaitan pembangunan industri REE negara.- DagangNews.com








