TAIPING 5 Ogos – Zoo Taiping & Safari Malam terus mencatatkan pencapaian membanggakan dalam usaha konservasi apabila merekodkan kelahiran beberapa spesies hidupan liar baharu.
Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan pengurusan zoo dalam pemeliharaan biodiversiti serta pengurusan habitat yang lestari.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, kelahiran tersebut direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.


Katanya, antara kelahiran penting yang direkodkan termasuk seekor cimpanzi (Pan troglodytes) dan seekor ungka tangan putih (Hylobates lar) iaitu dua spesies primat yang semakin terancam di habitat asal mereka.
“Turut menyusul ialah kelahiran tiga ekor rusa bawean (Axis kuhlii), spesies endemik yang jarang ditemui.
“Kejayaan pembiakan turut melibatkan dua ekor burung botak upih (Mycteria cinerea), seekor nyala (Tragelaphus angasii), seekor rusa sxis (Axis axis) dan dua ekor rusa ubi (Cervus unicolor).
“Dalam kategori reptilia pula, Zoo Taiping & Safari Malam menyambut kelahiran sebanyak 14 ekor corn snake (Pantherophis guttatus), diikuti seekor skunk belang (Mephitis mephitis),” ujarnya dalam satu kenyataan.


Menurut Khairul Amir, kejayaan ini mencerminkan keberkesanan program pembiakan dalam kurungan yang dilaksanakan secara sistematik dan berterusan.
“Kelahiran ini bukan sahaja mencerminkan kejayaan program pembiakan dalam kurungan, malah menzahirkan peranan penting Zoo Taiping & Safari Malam dalam menyumbang kepada usaha global pemuliharaan spesies terancam,” ujarnya. - DagangNews.com











