Kekurangan kritikal bekalan bahan mentah terus tekan margin Top Glove — CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kekurangan kritikal bekalan bahan mentah terus tekan margin Top Glove — CGS International

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 Mac — Kekurangan kritikal bekalan 'nitrile butadiene rubber' (NBR) serta lonjakan kos bahan mentah itu pada ketika ini menjadi cabaran utama kepada Top Glove Corporation Berhad.


Bagaimanapun menurut CGS International (CGSI), strategi kenaikan harga jualan purata (ASP) produk keluaran kumpulan berkenaan dijangka mampu mengekang tekanan terhadap margin perolehan kasar.


Setakat ini jelas firma penyelidikan itu, inventori NBR global merosot ke paras terendah hanya dua minggu pada pertengahan Mac 2026 susulan gangguan bekalan di Korea Selatan, Thailand dan China.


"Keadaan tersebut menyebabkan harga bahan berkenaan melonjak mendadak, dan kos input Top Glove bagi nitril meningkat lebih 24%, manakala getah asli (NR) naik lebih 10%," katanya dalam nota.


Situasi kebergantungan import terhadap NBR tambah CGSI, berisiko menjejaskan volum jualan sehingga 20% bagi tahun kewangan 2026, dan ini merupakan risiko utama jangka pendek ke atas kumpulan itu.


Pihak pengurusan kata firma berkenaan, namun sudah memberi petunjuk bahawa kenaikan kos tersebut akan dipindahkan secara sepenuhnya pula kepada pelanggan melalui langkah pelarasan semula ASP.


Bagi mengimbangi tekanan kos berkenaan tambah CGSI, Top Glove merancang untuk menaikkan ASP sekitar AS$9 (RM36) bagi sarung tangan nitril dan hingga AS$3 (RM12) bagi sarung tangan jenis NR.

 

Top Glove


"Kami berpandangan langkah ini bukan sahaja melindungi margin, malah memacu peralihan permintaan ke arah sarung tangan NR yang murah, menyokong pertumbuhan volum dalam kekangan stok," katanya.


Fleksibiliti operasi kumpulan tersebut jelasnya, membolehkannya ia menukar kapasiti pengeluaran antara nitril dan NR, serta memberikan kelebihan dalam memanfaatkan perubahan corak permintaan.


Bagi keputusan kewangan, keuntungan bersih teras Top Glove bagi suku kedua FY26 berjumlah RM30.6 juta, susut 5% tahun ke tahun (YoY) dan di bawah jangkaan, disebabkan kecekapan operasi rendah.


Secara kumulatif kata CGSI, keuntungan bersih teras bagi separuh pertama meningkat lebih 100% YoY kepada RM69.1 juta, namun hanya mencapai sekitar 35% hingga 41% daripada unjuran penuh tahun.


"Kami namun mengekalkan saranan ‘tambah’ dan harga sasaran (TP) pada RM0.67, berasaskan penilaian yang dianggap menarik iaitu 13.2 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi FY28," ujarnya.


Firma itu menambah, Top Glove kekal sebagai pilihan utama sektor berikutan struktur kos kompetitif serta portfolio produk pelbagai, menyesuaikan operasi dalam persekitaran global tidak menentu.


Bagaimanapun, CGSI memberi amaran antara risiko penurunan termasuk kegagalan pemindahan sepenuhnya kos bahan mentah kepada pelanggan serta pengukuhan ringgit yang menjejaskan keuntungan eksport.


Sebaliknya, pemangkin kenaikan termasuk kelewatan pembinaan kapasiti baharu yang mengurangkan lebihan bekalan global dan keupayaan kepakaran dalam pengeluaran NR. - DagangNews.com