Kejatuhan ketara jualan kenderaan elektrik awal 2026 lebih bersifat sementara, kata BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kejatuhan ketara jualan kenderaan elektrik awal 2026 lebih bersifat sementara, kata BIMB Securities

Foto kredit AFP
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 April – Permintaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dilihat masih kekal kukuh meskipun data jualan awal 2026 menunjukkan penurunan yang amat ketara, menurut BIMB Securities


Sebaliknya, firma penyelidikan berkenaan menegaskan yang isu kelemahan tersebut hanya bersifat sementara, dan bukan mencerminkan kemerosotan asas permintaan daripada pembeli di negara ini.


Katanya, sektor automotif kini memasuki fasa penyatuan selepas lonjakan penghantaran luar biasa pada penghujung 2025, yang menyebabkan normalisasi jumlah volum industri (TIV) awal tahun ini.


"Penurunan pendaftaran EV daripada 8,123 unit pada Disember 2025 kepada 3,635 unit pada Februari 2026, susut 42% bulan ke bulan (MoM), kerana pelbagai isu," ujar BIMB Securities dalam notanya. 


Antaranya tambah firma berkenaan, kejatuhan jualan tersebut banyak dipengaruhi oleh faktor masa penghantaran dan perubahan dasar seperti berakhirnya pengecualian cukai bagi model import (CBU).


Perkembangan itu jelasnya, bukan petanda permintaan merosot, tetapi lebih bersifat kitaran, dengan pemulihan semula kelihatan pada Mac 2026 dengan peningkatan sekitar 30% MoM kepada 4,717 unit.

 

kenderaan elektrik_DagangNews
Foto kredit AFP


BIMB Securities berkata, prestasi mengikut jenama menunjukkan ada peningkatan, dengan Tesla dan BYD mencatat lonjakan masing-masing 135% dan 87% pada bulan itu berikutan penghantaran tertunda.


"Model Proton e.MAS mencatat pertumbuhan kukuh 222% tahun ke tahun (YoY), dan ini mencerminkan peningkatan penerimaan EV tempatan, walaupun terdapat sedikit penyusutan dari segi MoM," ujarnya.


Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu melihat kadar penembusan EV kekal tinggi kira-kira 7.6% pada Mac 2026, dan melebihi paras sejarah, meskipun turun sedikit daripada 9.2% pada Januari 2026.


Bagaimanapun, BIMB Securities memberi amaran mengenai ketegangan geopolitik termasuk konflik di rantau Timur Tengah berpotensi memberi tekanan kepada permintaan melalui pelbagai faktor tertentu.


Ini termasuk peningkatan kos dan sentimen pengguna, khususnya segmen premium, tetapi peralihan ke arah EV mampu milik serta pemasangan model tempatan (CKD) dijangka terus menyokong pertumbuhan.


"Justeru, kami mengekalkan unjuran TIV 2026 sebanyak 740,000 unit dan pendirian 'neutral' terhadap sektor automotif, mengambil kira faktor sokongan permintaan dengan risiko kos," katanya. - DagangNews.com