KUALA LUMPUR 21 April — Kerajaan Kedah mengalu-alukan pelabur untuk membangunkan lebih 16,000 hektar tanah untuk kegunaan industri di negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Pelaburan negeri, Dr Haim Hilman Abdullah.
Kawasan berkenaan kata beliau, termasuk zon utama di utara, seperti Zon Ekonomi Sempadan Khas Delapan (SBEZ), Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP), Hab Halal dan Logistik Bukit Kayu Hitam, Bandar Getah Kedah (KRC), serta Hab Halal ASEAN Digital.
Sementara itu katanya, zon tengah pula merangkumi Taman Perindustrian Berat Gurun, Taman Pintar Utara, Taman Perindustrian Bukit Selambau, dan Aerotropolis Kedah manakala di zon selatan, ia mengandungi sejumlah enam kawasan perindustrian.
"Ia terdiri Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Koridor Perindustrian Kulim serta empat taman perindustrian iaitu Padang Meha, Timur Kulim, Kulim Utara, dan Baharu Bandar Baharu,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Haim dalam pada itu turut menggesa semua pihak untuk mengambil kesempatan daripada perang perdagangan yang sedang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dan China bagi menarik banyak pelaburan terutamanya ke Kedah.
Kata beliau, dengan tarif timbal balik yang terlalu tinggi dikenakan oleh kerajaan AS ke atas China, ini memberikan peluang terbaik untuk negeri berkenaan meletakkan dirinya sebagai destinasi pelaburan pilihan.
“Malah, dasar China juga menggalakkan banyak syarikatnya berkembang ke luar negara untuk terus berdaya saing dalam persaingan pasaran global,” katanya ketika menjawab soalan Abdul Ghafar Saad (PN-Guar Chempedak).
Haim turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersetuju untuk mempercepatkan peruntukan tambahan 200 hektar di bawah Fasa 5 bagi pembesaran KHTP.
Ia dicapai semasa pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan menegaskan bahawa KHTP bukan semata-mata inisiatif kerajaan persekutuan tetapi lebih kepada kerjasama strategik bersama kerajaan negeri.
"Perkembangan pesat rantaian bekalan telah membolehkan KHTP maju ke fasa seterusnya, dengan pajakan tanah dalam Fasa 4A hampir diambil sepenuhnya dan persiapan kini sedang dijalankan untuk Fasa 5 pula," kata beliau. - DagangNews.com








