Kebergantungan tinggi kepada satu pelanggan sahaja dikhuatiri jejaskan Pecca bagi FY26 - Mercury Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kebergantungan tinggi kepada satu pelanggan sahaja dikhuatiri jejaskan Pecca bagi FY26 - Mercury Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Mac – Tahap kebergantungan tinggi terhadap satu pelanggan sahaja serta semakan cukai nilai pasaran terbuka (OMV) mulai Julai 2026 menjadi isu kritikal ke atas Pecca Group Berhad.


Menurut Mercury Securities dalam analisisnya hari ini, isu itu terus membayangi prospek kumpulan itu meskipun mencatat kemajuan operasi stabil bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (6MFY26).


Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham syarikat ini dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.55, berdasarkan 16 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) pada FY27.


"Segmen pengeluar peralatan asli (OEM) kekal pemacu utama dengan sumbangan 84% kepada hasil Pecca, disokong permintaan kukuh daripada Perodua yang menyemak naik unjuran pengeluaran," kata firma itu.


Bagaimanapun, Mercury Securities mengingatkan sebarang penyederhanaan jumlah keseluruhan industri (TIV) mungkin berpunca jenama bukan nasional, selain risiko kebergantungan pelanggan tempatan.


Kumpulan itu kini bergerak ke rantaian nilai lebih tinggi menerusi pemasangan penuh kerusi dengan barisan pemasangan baharu di fasiliti Subang yang mempunyai kapasiti hingga 4,000 unit kerusi.


Kemudahan tersebut sudah menjalani audit tapak oleh GWM pada Februari 2026 dan dijadualkan diaudit oleh Chery bulan ini, yang berpotensi membawa banyak tender program baharu kepada Pecca sendiri.


"Pengembangan kilang di UMW High Value Manufacturing Park di Serendah dilaksanakan secara berfasa, dengan fasa pertama berkapasiti 150,000 set dijangka siap akhir 2026," kata Mercury Securities.


Dalam segmen pasaran peralatan gentian (REM), hasil naik 61% suku ke suku (QoQ) kepada RM3 juta, disumbangkan kontrak eksport baharu ke Amerika Syarikat (AS) yang dianggarkan RM6.5 juta setahun.


Setakat ini jelas firma penyelidikan tersebut, Pecca sudah membangunkan kira-kira 100 templat produk bagi menyokong pertumbuhan eksport dan mengurangkan kebergantungan di pasaran domestik.


Mercury Securities menambah, bagi segmen pemeriksaan prapenghantaran (PDI), operasi di Arab Saudi dijangka menyumbang RM6 juta setahun, disokong aktiviti pengedaran kenderaan mapan di Timur Tengah.


"Segmen penerbangan yang kini menjana 1.1% hasil kumpulan dijangka merekodkan pengiktirafan hasil lebih kukuh pada suku ketiga FY26, apabila 70% hasil projek utama akan direkodkan," ujarnya.


Selain itu katanya, Pecca turut memperoleh projek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) jangka panjang daripada sebuah syarikat penerbangan tempatan bernilai kira-kira RM1.5 juta.


Di samping tambah Mercury Securities, kumpulan itu berpotensi menyertai program Total Care oleh Malaysia Aviation Group bernilai RM100 juta yang dijangka dianugerahkan pada pertengahan 2026.


Berdasarkan perkembangan itu, firma berkenaan menjangkakan pendapatan FY26 hingga FY27 kekal berdaya tahan meskipun TIV domestik diramal menurun kepada sekitar 790,000 unit pada 2026.


"Dengan hasil dividen FY27 diunjur 2.3%, kami berpandangan profil risiko-ganjaran Pecca adalah sederhana serta mengekalkan pendirian berhati-hati terhadap saham ini," katanya. - DagangNews.com