KDNK Selangor RM432 bilion cecah paras tertinggi dalam sejarah - Invest Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KDNK Selangor RM432 bilion cecah paras tertinggi dalam sejarah - Invest Selangor

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai -  Selangor mencatat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM432.1 bilion tahun lalu sekaligus mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang utama ekonomi negara.

 

Menurut Invest Selangor, angka itu meningkat ketara berbanding RM406.1 bilion yang direkodkan pada tahun 2023 menjadikan Selangor satu-satunya negeri yang berjaya melepasi paras RM400 bilion untuk dua tahun berturut-turut.

 

"Sumbangan Selangor kepada keseluruhan KDNK Malaysia juga meningkat kepada 26.2 peratus berbanding 25.9 peratus pada tahun sebelumnya.

 

"Dari segi pertumbuhan tahunan, Selangor mencatat kadar pertumbuhan sebanyak 6.3 peratus melepasi purata kebangsaan yang berada pada paras 5.1 peratus.

 

"Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama kepada KDNK negeri dengan sumbangan sebanyak RM263.9 bilion atau 61.1 peratus serta kadar pertumbuhan tahunan yang sama iaitu 6.3 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sektor kedua terbesar ialah sektor pembuatan yang menyumbang 29.1 peratus kepada KDNK didorong oleh subsektor seperti elektrik dan elektronik, minyak dan lemak sayuran serta haiwan, pemprosesan makanan, minuman dan peralatan pengangkutan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Hasan Azhari Idris berkata, pencapaian tersebut adalah hasil perancangan jangka panjang serta pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi menarik pelaburan berkualiti dalam sektor berimpak tinggi.

 

“Di Invest Selangor, kami memberi tumpuan kepada usaha memudahkan pelaburan yang mampan dan berasaskan inovasi di samping memperkukuh daya saing global untuk negeri,” katanya. - DagangNews.com