IPOH 16 Okt - Bakal pengantin boleh merancang majlis impian mereka dengan lebih mudah apabila Karnival Perkahwinan Galasa Ipoh kembali untuk edisi keduanya pada Jumaat sehingga Ahad ini.
Acara ini menghimpunkan lebih 25 syarikat perkhidmatan perkahwinan di satu lokasi eksklusif.
Bakal berlangsung di ruang acara moden, Galasa Ipoh, ia menampilkan pelbagai penyediaan perkhidmatan perkahwinan.
Antaranya perunding perkahwinan, jurusolek profesional, pereka pelamin, pereka fesyen, butik pengantin, katering, gubahan hantaran, cenderahati dan jurugambar profesional.

Menurut Pengurus Pemasaran Galasa, Nursyafiqah Zamri, acara inu memberi kemudahan kepada bakal raja sehari yang ingin mendapatkan semua keperluan perkahwinan mereka tanpa perlu merentas lokasi berbeza.
"Trend majlis perkahwinan moden hari ini lebih bersifat praktikal dan terancang.
“Bakal pengantin kini mencari perkhidmatan yang bukan sahaja cantik dan berkualiti, tetapi juga menjimatkan masa dan tenaga. Karnival ini menjawab keperluan itu," katanya kepada DagangNews.
Menariknya, karnival ini bukan hanya menampilkan vendor yang menawarkan perkhidmatan untuk majlis perkahwinan Melayu sahaja tetapi juga terbuka kepada semua jenis majlis.


Ini termasuk juruperunding majlis perkahwinan kaum Cina, India serta majlis bertemakan moden atau antarabangsa sekali gus menjadikan ia lebih inklusif dan menyeluruh.
Jelas Nursyafiqah, penganjuran tahun lalu telah mencatat kejayaan membanggakan apabila merekodkan nilai jualan lebih RM200,000 dalam kalangan vendor yang menyertai.
Katanya, tahun ini penganjur optimis angka tersebut dapat ditingkatkan melalui pelbagai promosi dan aktiviti interaktif yang dirancang.
Antara tarikan lain yang akan memeriahkan karnival ini termasuk sesi tatarias secara langsung oleh jurusolek terkenal, demonstrasi gubahan bunga dan seni dekorasi pelamin.



Pengunjung juga boleh mendapatkan sesi khidmat nasihat percuma bersama perancang perkahwinan profesional selain diskaun eksklusif hanya untuk pengunjung pada hari acara.
Pelbagai pakej-pakej eksklusif ditawarkan sempena karnival ini termasuk tawaran pakej lengkap bajet yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pasangan muda.
Acara pada Jumaat bermula pukul 3 petang hingga 9 malam manakala Sabtu dibuka 12 tengah hari dan Ahad (10 pagi). - DagangNews.com








