KUALA LUMPUR 2 Sept – Kerajaan telah meningkatkan kapasiti sistem MyKasih bagi memastikan kelancaran operasi walaupun berlaku lonjakan mendadak dalam jumlah transaksi, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Menurut beliau, terkini kapasiti MyKasih telah ditingkatkan kepada 15,000 transaksi seminit sejak Ahad lalu.
Beliau menambah, pada 31 Ogos lalu, jumlah transaksi yang diluluskan melonjak kepada lebih 2,000 transaksi seminit – kira-kira empat kali ganda lebih tinggi berbanding paras puncak sebelum ini – sehingga menyebabkan kelewatan sementara semasa fasa awal pembayaran bantuan.

“Bagi menangani isu ini, kerajaan telah meningkatkan kapasiti sistem MyKasih bermula 1 September, membolehkan pemprosesan transaksi ditambah sebanyak 20%.
"Peningkatan kapasiti ini membuahkan hasil apabila nilai transaksi yang berjaya diproses pada hari kedua mencecah RM66.0 juta, berbanding RM52.7 juta pada 31 Ogos.
“Kami telah memasang satu ‘patch’ petang tadi yang menaikkan kapasiti kepada 15,000 transaksi seminit. Dengan peningkatan ini, kami yakin sistem dapat menampung susunan transaksi dengan lebih efisien,” katanya dalam taklimat media MyKasih di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa isu kelewatan bukan berpunca daripada lokasi pengguna, sebaliknya disebabkan lonjakan transaksi pada waktu puncak seperti ketika cuti umum.
“Tiada corak tetap. Namun apabila berlaku lonjakan seperti musim cuti, terminal boleh menjadi perlahan. Justeru, kami akan terus menambah baik kapasiti sistem dari semasa ke semasa,” katanya.
Mengambil kira cuti umum dan hujung minggu panjang yang akan datang, kerajaan kekal terbuka terhadap penambahbaikan lanjut bagi memastikan kestabilan sistem.
Katanya, setakat ini, sistem MyKasih berada dalam keadaan stabil namun terus dipantau secara rapi oleh pihak kerajaan.
“Saya juga ingin mengingatkan penerima bantuan bahawa kredit boleh digunakan sehingga 31 Disember, jadi masih banyak masa untuk membuat pembelian,” ujar beliau. - DagangNews.com








