Kapal sokongan luar pesisir Sealink terbakar di Brazil diisytihar ‘Total Loss’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kapal sokongan luar pesisir Sealink terbakar di Brazil diisytihar ‘Total Loss’

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Sept  — SEALINK International Bhd mengesahkan kapal sokongan luar pesisir miliknya yang terbakar di perairan Brazil pada Mei lalu telah diisytiharkan sebagai 'constructive total loss' oleh jurukur yang dilantik oleh pihak insurans.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan marin luar pesisir yang berpangkalan di Sarawak itu berkata, pihaknya telah menerima laporan akhir tuntutan insurans yang mengesahkan status kapal tersebut.

 

“Pemilik kapal terus bekerjasama rapat dengan pihak penyewa, syarikat insurans, jurukur yang dilantik, penasihat undang-undang serta pihak berkaitan lain berhubung proses tuntutan insurans dan langkah susulan,” kata kenyataan itu.

 

Bagaimanapun, kumpulan tersebut tidak mendedahkan impak kewangan akibat insiden berkenaan.

 

Kebakaran dilaporkan berlaku pada 17 Mei, namun Sealink hanya dimaklumkan mengenainya pada 21 Mei. Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

 

Kapal tersebut berada di bawah pajakan bareboat, dengan kawalan operasi sepenuhnya di bawah penyewa, dan dilindungi oleh insurans hull and machinery.

 

Sealink ketika ini memiliki armada sebanyak 22 buah kapal sokongan luar pesisir yang beroperasi untuk pelanggan dalam sektor minyak dan gas di Malaysia serta luar negara. - DagangNews.com