KUALA LUMPUR 16 Mac – IJM Corporation Bhd menegaskan nilai tawaran pengambilalihan mencerminkan titik terendah dalam kitaran keuntungan syarikat pada ketika nilai aset adalah tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif IJM, Datuk Lee Chun Fai berkata kumpulan itu kini berada pada fasa di mana beberapa aset utama masih dalam pembangunan atau peringkat inkubasi dan belum menjana keuntungan sepenuhnya.
“Pada masa ini, kami berada di tahap terendah dalam kitaran keuntungan, tetapi nilai aset kami adalah tinggi,” katanya pada taklimat mengenai penemuan penasihat bebas terhadap tawaran Sunway Bhd.
M&A Securities, yang dilantik untuk menasihati pemegang saham mengenai tawaran pengambilalihan itu, menegaskan bahawa tawaran Sunway adalah “tidak adil dan tidak munasabah” dan menggesa Lembaga Pengarah menasihatkan pemegang saham menolak tawaran berkenaan.
Pada Januari lalu, Sunway melancarkan tawaran untuk mengambil alih IJM melalui kaedah tunai dan saham, menilai syarikat hartanah dan infrastruktur itu pada RM3.15 sesaham atau bernilai RM11 bilion.
Tawaran itu bersyarat kepada penerimaan sekurang-kurangnya 50% plus satu saham. Di bawah terma cadangan itu, setiap 1,000 saham IJM akan membolehkan pemegang saham menerima RM315 tunai dan 501 saham Sunway bernilai RM2,835.

IJM Mampu Buka Nilai Kepada Pemegang Saham
Chun Fai berkata, IJM masih mempunyai peluang untuk membuka nilai kepada pemegang saham dalam jangka masa dekat hingga sederhana.
Antara inisiatif utama yang sedang dipertimbangkan termasuk rasionalisasi portfolio IJM di India, kemungkinan penyenaraian perniagaan pembinaan, serta penjualan atau penyenaraian aset lebuh raya tol.
Menurutnya, langkah-langkah ini dapat membantu merapatkan jurang antara penilaian pasaran IJM dan nilai intrinsik perniagaannya.
“Kami percaya pelan segera untuk inisiatif ini boleh dilaksanakan dalam tempoh dua tahun,” katanya.
IJM merancang untuk keluar daripada operasi di India dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, termasuk memanfaatkan dua konsesi lebuh raya tol, menjual tiga pembangunan serta tanah simpanan, sebagai usaha menyederhanakan struktur kumpulan dan mengurangkan pendedahan kepada turun naik mata wang asing.
Syarikat juga sedang meneroka kemungkinan penyenaraian divisyen pembinaan, yang menurut Chun Fai kini mencapai skala mencukupi untuk beroperasi sebagai kontraktor tunggal, dengan pendapatan tahunan sekitar RM3.6 bilion.
Divisyen pembinaan mempunyai nilai kerja tertunggak kira-kira RM7.9 bilion, hampir mencapai paras atas sasaran RM6 bilion hingga RM8 bilion, dengan saluran jangkaan tender sekitar RM17 bilion.
IJM juga menilai cara untuk meningkatkan nilai portfolio lebuh raya tol, termasuk memanfaatkan konsesi matang atau menyenaraikan aset melalui syarikat khusus berkaitan infrastruktur selepas penstrukturan selesai.
“Selepas penstrukturan, kami ingin memanfaatkan lebuh raya ini,” katanya.
Projek utama sedang berjalan lancar, termasuk lanjutan Lebuhraya New Pantai RM1.4 bilion yang dijadual siap pada 2029, manakala Lebuhraya Pantai Barat dijangka siap menjelang akhir 2026 selepas selesai pengambilan tanah.
Hanya Nikmati 20% Potensi Peningkatan
Chun Fai menginatkan bahawa pemegang saham yang menerima tawaran pengambilalihan oleh Sunway Bhd hanya berpotensi menikmati kira-kira 20 peratus daripada peningkatan pertumbuhan masa depan syarikat.
“Jika pemegang saham menerima tawaran ini, mereka akan berkongsi pertumbuhan masa depan IJM dengan pihak lain dan hanya menikmati kira-kira 20 peratus daripada potensi peningkatan itu.
“Dengan kekal bersama IJM, pemegang saham akan mengekalkan pendedahan penuh kepada potensi pertumbuhan jangka panjang syarikat,” katanya.
Beliau menambah, pemegang saham yang menerima perjanjian tersebut akan menukar pemilikan langsung mereka dalam IJM kepada pegangan saham dalam Sunway, sekali gus menjadi pemegang saham minoriti dalam kumpulan yang diperbesarkan selain berdepan risiko seperti turun naik pasaran dan ketidakpastian integrasi. - DagangNews.com








