KUALA LUMPUR 11 Mac — Kamdar Group (M) Berhad mengesahkan kepada Bursa Malaysia bahawa firma juruaudit luarnya, TGS TW PLT, menyerahkan surat peletakan jawatan bertarikh 9 Mac 2026.
Menurutnya, peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa selepas tempoh 21 hari daripada tarikh pemberitahuan dan berlaku disebabkan perselisihan berhubung yuran pengauditan yang dikemas kini.
Sehubungan itu jelasnya, syarikat berkenaan kini sedang dalam proses bagi mengenal pasti calon sesuai sebagai juruaudit luar yang baharu untuk dilantik mengikut Seksyen 271(2)(b) Akta Syarikat 2016.
"Lembaga Pengarah Kamdar menegaskan, selain perkara berkenaan, tiada isu lain yang perlu dimaklumkan kepada pemegang saham," jelas kumpulan tersebut kepada pihak bursa hari ini.
Di samping itu tambahnya, sebarang pengumuman selanjutnya mengenai pelantikan juruaudit yang baharu akan dilaksanakan sejurus diputuskan dan dimuktamadkan oleh pengurusan kumpulan berkenaan.
Kamdar ditubuhkan pada 1972 dengan memulakan operasinya sebagai perniagaan tekstil keluarga sebelum berkembang pesat menjadi salah satu gedung pakaian yang terkemuka di Malaysia ketika ini.
Syarikat berkenaan yang terkenal dengan slogan 'Memang Berbaloi' disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 2005 dan setakat ini terdapat sejumlah 27 cawangan di seluruh negara. - DagangNews.com








