Kajian Saint-Gobain dapati hanya 55% pemain industri di Malaysia bersedia ke arah pembinaan mesra alam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kajian Saint-Gobain dapati hanya 55% pemain industri di Malaysia bersedia ke arah pembinaan mesra alam

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 April — Jurang yang ketara antara kehendak rakyat dan kesediaan industri dalam pembinaan mesra alam di Malaysia kini menjadi isu kritikal, menurut kajian terbaharu Saint-Gobain.


Firma antarabangsa itu menerusi laporan Sustainable Construction Barometer 2026 mendedahkan 71% rakyat Malaysia menganggap pembinaan mampan sebagai keutamaan, dan mengatasi purata global 63%.


Bagaimanapun ujarnya, ketika majoriti besar rakyat negara ini mendesak agar berlaku perubahan yang lebih pantas, komitmen pemain industri domestik pula sebaliknya didapati masih ketinggalan agak jauh.


"Hanya 55% pemain industri berkongsi pandangan positif, lebih rendah berbanding purata global iaitu 65%, menunjukkan ketidaksepadanan hala tuju sektor pembinaan negara," kata Saint-Gobain dalam kenyataan.


Tambahnya, walaupun tahap sokongan industri tempatan adalah rendah, namun sebanyak 63% pihak berkepentingan tetap mengakui pembinaan mampan mampu menjana nilai yang sama atau lebih tinggi.


Responden berkenaan jelasnya, mengakui kaedah tersebut sebenarnya masih baik berbanding pembinaan secara konvensional, yang merangkumi pendekatan luas dari sudut ekonomi, sosial dan alam sekitar.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Saint-Gobain Malaysia dan Singapura, Lynette Siow berkata, kepesatan urbanisasi di negara ini menjadikan beberapa aspek daya tahan semakin saling berkait.


"Antaranya faktor iklim, perumahan berkualiti dan pertumbuhan inklusif, dengan jangkaan tinggi rakyat boleh menjadi pemangkin utama kepada perubahan industri pembinaan yang lebih mesra alam," ujarnya. 

 

pembinaan_DagangNews


Beliau menjangka perkembangan kecenderungan positif itu dapat memperkukuh dasar, meningkatkan penjajaran serta menggalakkan kerjasama lebih erat antara semua pihak dalam ekosistem pembinaan.


Dari segi kefahaman pula menurut kajian Saint-Gobain, hanya 29% rakyat Malaysia menyatakan mereka benar-benar memahami konsep pembinaan secara mampan, meskipun permintaan terhadapnya amat tinggi.


Dalam kalangan definisi utama, responden mengaitkan pembinaan mesra alam dengan keupayaan bangunan menahan cuaca yang ekstrem, fleksibiliti penggunaan serta peningkatan kesejahteraan penghuni.


"Bagi pemain industri pula, tahap kesedaran lebih tinggi iaitu 87%, namun ada 13% mengakui tidak pernah langsung mendengar konsep ini, jurang yang membimbangkan dalam sektor kritikal negara," katanya.


Selain itu, kajian firma berkenaan turut mengenal pasti peningkatan kesedaran awam dan kerjasama rentas sektor sebagai faktor utama untuk mempercepatkan peralihan kepada pembinaan yang mampan.


Isu ini kata Saint-Gobain, terbukti apabila lebih satu pertiga responden menekankan kepentingan industri berkenaan, dengan arkitek dan jurutera bangunan dilihat sebagai pemacu utama kepada perubahan.


Firma itu menegaskan Malaysia memiliki peluang besar transformasi sektor pembinaan dengan sokongan kukuh rakyat, di samping kefahaman dan tindakan dalam kalangan pemain industri. - DagangNews.com