KAF Investment Funds lancar dana ekuiti Islam global, tawarkan akses kepada Microsoft dan NVIDIA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KAF Investment Funds lancar dana ekuiti Islam global, tawarkan akses kepada Microsoft dan NVIDIA

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 22 MeiKAF Investment Funds Berhad (KIFB) melancarkan dana baharu patuh Syariah, KAF Global Islamic Equity Fund (KGIEF), yang membantu pelabur tempatan mempelbagaikan portfolio.



Menurut kenyataan kumpulan tersebut, dana itu direka untuk memberi pendedahan strategik kepada syarikat-syarikat global yang berpotensi tinggi di pasaran negara-negara maju dan membangun.


Selain itu, pelabur kini diberikan pilihan baharu sekiranya mereka berhasrat memanfaatkan ledakan teknologi global seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan peralihan tenaga.


"KGIEF memberi pelabur akses kepada syarikat dunia dengan kedudukan yang kukuh seperti Microsoft Corporation, NVIDIA Corporation, dan Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC)," jelasnya.


Pada masa sama ujarnya, dana bertaraf antarabangsa tersebut masih lagi mengekalkan pematuhan penuh terhadap prinsip Syariah, sekali gus memberi keyakinan pelabur dalam urus niaga secara Islam.

 

Mohammad Fariz Ahmad Shamsuddin
MOHAMMAD FARIZ AHMAD SHAMSUDDIN



Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KIFB, Mohammad Fariz Ahmad Shamsuddin berkata, kepelbagaian pelaburan menjadi semakin penting dalam persekitaran ekonomi global yang sentiasa berubah pantas.


Sehubungan itu, KGIEF direka khusus untuk membantu pelabur tempatan dapat menguruskan lebih baik risiko domestik sambil mereka memanfaatkan tema pertumbuhan struktur yang sedang berkembang.


Dengan pendedahan kepada peneraju pasaran dalam kerangka patuh Syariah, kami membuka akses kepada trend revolusi digital dan hijau yang kini mengubah landskap penciptaan kekayaan dunia,” katanya.


Antara tema pelaburan utama dana itu termasuk AI, EV, inovasi perisian, peralihan tenaga serta perubahan corak penggunaan global yang dijangka menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang.


Ujar beliau, KGIEF selain itu disasarkan kepada pelabur yang mahu mencari peluang pelaburan patuh Syariah di peringkat antarabangsa dengan tahap toleransi risiko secara sederhana hingga tinggi.


Di samping itu, dana tersebut berorientasikan pertumbuhan modal jangka panjang, dengan pelaburan minimum permulaan ditetapkan pada RM1,000, manakala pelaburan tambahan minimum ialah RM100.


Secara keseluruhannya, ia menggunakan rujukan Dow Jones Islamic Market World Index dan transaksi dalam denominasi mata wang ringgit sebagai penanda aras kepada tahap prestasi pertumbuhannya.


Pelabur boleh melanggan dana ini secara dalam talian, manakala maklumat lebih lanjut boleh diperoleh menerusi menerusi laman web rasmi KIFB. - DagangNews.com