KUALA LUMPUR 21 Mei – Perdana Petroleum Berhad mencatatkan kerugian bersih lebih rendah sebanyak RM12.1 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, daripada RM18.3 juta pada tahun sebelumnya.
Pengurangan kerugian kira-kira 34% ini didorong terutamanya oleh peningkatan secara ketara kadar penggunaan kapal (UR) yang mencapai sebanyak 55% berbanding hanya 31% pada suku pertama 2025.
Syarikat berkenaan turut merekodkan peningkatan pendapatan sebanyak 12% kepada RM42.2 juta bagi tempoh tiga bulan tersebut berbanding cuma RM37.6 juta pada suku yang sama tahun sebelum itu.
"Peningkatan UR ini dipacu oleh penggunaan kapal 'Anchor Handling Tug Supply' (AHTS) yang melonjak kepada 96% berbanding 52% pada suku sepadan 2025," maklum Perdana Petroleum kepada Bursa Malaysia.
Menurutnya, prestasi yang lebih baik ini disokong oleh kesinambungan projek dan limpahan kontrak dari akhir tahun 2025, selain permintaan yang stabil daripada kempen luar pantai yang berterusan.
Bagaimanapun, beberapa faktor kekal memberi kesan kepada prestasi keseluruhan termasuk cuaca buruk pada awal tahun menjejaskan penggunaan tongkang kerja kediaman yang memberi kekangan operasi.
Selain itu jelas Perdana Petroleum, ketiadaan kontrak penyewaan kapal daripada pihak ketiga pada suku tersebut turut menjejaskan hasil, berbanding sebanyak RM9.1 juta yang direkodkan pada 1QFY25.

"Tekanan disebabkan peningkatan kos langsung kapal dan inflasi akibat ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah juga dikenal pasti mengakibatkan impak kepada perkhidmatan semasa," tambahnya.
Bagi perbandingan suku ke suku (QoQ), pendapatan menyusut 13% daripada RM48.4 juta pada 4QFY25, dengan kerugian sebelum cukai (PBT) meningkat kepada RM12.0 juta berbanding RM3.2 juta sebelumnya.
Penurunan tersebut menurut Perdana Petroleum, disebabkan oleh faktor sumbangan yang lebih rendah daripada penyewaan kapal miliknya sendiri dan kos jualan semakin tinggi mempengaruhi prestasi.
Mengenai prospek masa hadapan, kumpulan itu kekal optimis secara berhati-hati terhadap pasaran kapal sokongan luar pantai (OSV) di Malaysia, disokong oleh aktiviti huluan PETRONAS yang berterusan.
"Syarikat akan terus memberi tumpuan kepada disiplin operasi, pengurusan kos yang berhemat, dan peningkatan kecekapan untuk kekal berdaya saing dalam persekitaran pasaran mencabar" katanya.
Dalam perkembangan lain, Perdana Petroleum mendapat kelulusan pemegang saham untuk pengurangan modal saham sebanyak RM600 juta bagi menghapuskan kerugian terkumpul syarikat. - DagangNews.com








