KUALA LUMPUR 28 April — Kenaikan kadar sewaan kapal tangki petroleum di peringkat global menjadi pemangkin utama kepada peningkatan prospek pendapatan MISC Berhad, kata AmInvestment Bank.
Perkembangan positif tersebut sekali gus mendorong firma penyelidikan berkenaan menaik taraf saham syarikat itu kepada saranan 'beli' daripada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi.
Ia menetapkan RM9.40 sesaham berbanding hanya RM8.80 sebelum ini, mencerminkan potensi pulangan keseluruhan sebanyak 22%, dengan semakan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor semasa.
"Antaranya peningkatan andaian kadar petroleum bagi tahun kewangan 2026 sekitar 14%, menyokong unjuran hasil teras MISC dari 2026 hingga 2028 naik 8% hingga 13%," kata AmInvest dalam notanya.
Segmen petroleum menjadi pemacu utama, didorong kadar kekal kukuh walaupun indeks Baltic Dirty Tanker (BDT) menyederhana daripada paras puncak Mac 2026, namun masih 2.4 kali purata lima tahun.
Firma tersebut menjangkakan pendapatannya terus dipacu oleh peningkatan kadar spot kapal tangki petroleum, dengan setiap kenaikan 10% tersebut berpotensi meningkatkan pendapatan sekitar 5%.

Tambah AmInvest, pendedahan anak syarikatnya, AET, di rantau Atlantic Basin memberikan kelebihan untuk MISC memanfaatkan permintaan perjalanan yang lebih tinggi serta kadar spot yang meningkat.
"Situasi ini mengekalkan keseimbangan melalui campuran kontrak 70% jangka panjang dan 30% spot, manakala kontrak dengan QatarEnergy kekal utuh walaupun berlaku situasi luar kawalan," katanya.
Ujar firma penyelidikan itu, tiada impak terhadap kapal yang berada di bawah kontrak sewaan jangka panjang (TCP), dengan bayaran sewaan terus dilindungi walaupun isu ketidaktentuan berlanjutan.
AmInvest turut melihat risiko penurunan kadar sebagai terhad kerana kos bahan api dan insurans dipindahkan kepada pelanggan, dengan kemerosotan nilai kapal dijangka semakin mengecil pada 2026.
Dari sudut pulangan kepada pemegang saham, MISC menawarkan profil pulangan tunai dengan jangkaan hasil dividen 5%, disokong peningkatan dividen sesaham kepada 41 sen bermula tahun kewangan 2026.
"Selain itu, hasil aliran tunai bebas (FCF) dianggarkan 7% hingga 9% bagi tempoh 2026 hingga 2028 yang menyokong kepada penilaian saham, selain potensi peningkatan segmen petroleum," katanya.
Gabungan momentum pendapatan yang lebih kukuh dan pulangan dividen yang stabil ujar AmInvest, menjadikan MISC sebagai pilihan pelaburan menarik dalam persekitaran pasaran semasa. - DagangNews.com








