Kabinet penerus kehendak rakyat - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kabinet penerus kehendak rakyat - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Madani yang pertama selepas rombakan semalam di Putrajaya hari ini.
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Dis - Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan barisan jemaah menteri terkini Kerajaan Madani adalah Kabinet penerus kehendak rakyat.

 

Sehubungan itu Perdana Menteri berkata, menuntut tindakan segera, keputusan berani serta keupayaan menterjemah kehendak dan nurani setiap lapisan masyarakat menjadi dasar yang berfungsi dan dirasai, bukan sekadar retorik. 

 

"Setiap anggota Kabinet mesti terus bekerja dengan disiplin dan berkhidmat dengan penuh kerendahan hati, memastikan pelaksanaan dasar bergerak pantas, berintegriti serta sampai kepada rakyat tanpa lengah dan sebarang alasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu Anwar yang juga Menteri Kewangan mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Madani selesai Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negera.

 

Semalam Anwar mengumumkan rombakan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.

 

Antaranya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang sebelum ini Menteri Perladangan dan Komoditi dilantik Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menggantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tamat tempoh sebagai senator.

 

Jawatan Menteri Ekonomi yang kosong ekoran peletakkan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli diisi Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

 

Lima lagi Timbalan Menteri yang dilantik menteri penuh ialah Dr. Zulkifli Hasan dilantik Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (Menteri Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan (Menteri Sumber Manusia), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam)  dan Datuk Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah/Sarawak).

 

Zulkifli sebelum ini Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Noraini ( Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Ramanan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Arthur Joseph (Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan) manakala, Mustapha merupakan bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

 

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari merupakan satu-satunya lantikan baharu sebagai menteri penuh menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan menggantikan Hannah Yeoh yang berpindah ke Kementerian Wilayah Persekutuan. - DagangNews.com