KAB perkenal Kinergy sebagai jenama pasaran selaras transformasi menjadi syarikat tenaga bersepadu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KAB perkenal Kinergy sebagai jenama pasaran selaras transformasi menjadi syarikat tenaga bersepadu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis – Kinergy Advancement Berhad (KAB) memperkenalkan “Kinergy” sebagai identiti jenama yang ditampilkan kepada pasaran, sejajar dengan transformasi Kumpulan itu ke arah menjadi syarikat tenaga dan kejuruteraan bersepadu kitaran penuh.

 

KAB berkata penjenamaan tersebut bertujuan memperkukuh pengiktirafan pasaran terhadap evolusi strategiknya daripada kontraktor kejuruteraan tradisional kepada penyedia penyelesaian tenaga dan kejuruteraan yang merangkumi pembangunan, pemilikan serta operasi aset tenaga jangka panjang.

 

Menurut KAB, nama Kinergy menggabungkan konsep pergerakan dinamik dan tenaga, melambangkan momentum serta kekuatan Kumpulan dalam mengembangkan keupayaan kejuruteraan kepada pembangunan tenaga dan penciptaan nilai mampan.

 

“Penjenamaan baharu ini juga selari dengan penyusunan semula sektor Kumpulan di bawah kategori Tenaga di Bursa Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan kami sebagai pembina, pemilik dan pengendali aset tenaga mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Mengulas hala tuju masa hadapan, KAB berkata Kinergy bersedia mengembangkan campuran tenaga melalui pembangunan loji penjanaan berskala besar serta inisiatif Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

 

Pada 2023, Kinergy dilantik sebagai rakan teknikal tempatan PETRONAS Gas Berhad dan sejak itu memperoleh tiga projek infrastruktur tenaga berturut-turut daripada entiti berkaitan PETRONAS, termasuk dua loji janakuasa enjin gas berkapasiti 72 megawatt (MW) dan 120MW.

 

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan jenama itu, Kinergy turut melancarkan laman web korporat baharu pada 10 Disember 2025 yang memaparkan portfolio tenaga, hala tuju strategik serta pelan pertumbuhan jangka panjang Kumpulan.

 

KAB menegaskan penggunaan jenama Kinergy tidak mengubah struktur korporat atau fokus perniagaan sedia ada, sebaliknya bertujuan memperjelas kedudukan pasaran dan pengiktirafan dalam kalangan pemegang saham serta pelabur.

 

Kinergy Advancement Bhd (KAB) disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia di bawah sektor Tenaga. 

 

Berbekalkan pengalaman 28 tahun dalam bidang kejuruteraan, Kumpulan itu kini mengukuhkan peranannya sebagai pembina, pemilik dan pengendali, dengan sasaran menjadi IPP menjelang 2026. - DagangNews.com