Juruaudit Sedania kemuka pendapat berkelayakan bagi penyata kewangan FY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Juruaudit Sedania kemuka pendapat berkelayakan bagi penyata kewangan FY2025

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 21 Okt - Kumpulan tenaga lestari dan penjagaan kesihatan, Sedania Innovator Bhd memaklumkan bahawa juruaudit luarnya telah mengeluarkan pendapat berkelayakan terhadap penyata kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY2025).

 

Dalam laporan auditnya, Baker Tilly Monteiro Heng PLT menyatakan, bahagian keuntungan dan pendapatan komprehensif lain Sedania daripada syarikat bersekutunya masing-masing berjumlah RM777,100 dan RM9,508, manakala jumlah tercatat pelaburan ekuiti dalam syarikat bersekutu itu ialah RM4.46 juta setakat akhir Jun 2025, menurut pemfailan kumpulan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

 

Bagaimanapun, syarikat bersekutu tersebut tidak dapat menyediakan maklumat kewangan kepada juruauditnya dalam tempoh ditetapkan, menyebabkan audit bagi tahun kewangan 2025 belum dapat diselesaikan, menurut Baker Tilly.

 

Sehubungan itu, juruaudit berkenaan tidak dapat memperoleh bukti audit yang mencukupi dan sesuai berhubung nilai bawaan pelaburan Sedania dalam syarikat bersekutu tersebut serta bahagian keuntungan dan pendapatan komprehensif lain bagi tahun berkenaan.

 

“Oleh yang demikian, kami tidak dapat menentukan kesan pelarasan, jika ada, terhadap kedudukan kewangan kumpulan setakat 30 Jun 2025 serta prestasi kewangannya bagi tahun kewangan berkenaan,” menurut laporan itu.

 

“Kami percaya bahawa bukti audit yang telah diperoleh adalah mencukupi dan sesuai untuk menjadi asas kepada pendapat berkelayakan kami.”

 

Dalam maklum balasnya, Sedania menjelaskan bahawa isu pendapat berkelayakan tersebut dijangka dapat diselesaikan pada tahun kewangan akan datang, sebaik sahaja juruaudit komponen syarikat bersekutu itu mengeluarkan laporan audit akhirnya.

 

“Syarikat, bersama juruaudit luarnya, sedang giat berurusan dengan syarikat bersekutu serta juruaudit komponennya bagi mempercepatkan penyempurnaan audit syarikat bersekutu bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.”

 

Pada penutupan dagangan Jumaat lalu, saham Sedania susut 2.5 sen atau 8.77% untuk ditutup pada 26 sen, dengan nilai pasaran sebanyak RM94.99 juta- DagangNews.com