Jurang dividen sektor REIT semakin mengecil, RHB Research saran pilih Pavilion REIT dan AME REIT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jurang dividen sektor REIT semakin mengecil, RHB Research saran pilih Pavilion REIT dan AME REIT

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 Mac — Penyusutan jurang hasil dividen antara pelbagai amanah pelaburan hartanah (REIT) dan bon kerajaan menjadi antara isu utama yang diperhatikan pelabur, kata RHB Research.


Bagaimanapun menurut firma penyelidikan tersebut, sektor itu masih dilihat berdaya tahan dengan prospek pendapatan yang stabil, dan ia terus mengekalkan penarafan 'overweight' ketika ini. 


Berdasarkan perkembangan positif berkenaan, ia menyarankan pelabur yang berminat terhadap sektor tersebut untuk memberi lebih perhatian ke atas Pavilion REIT dan AME REIT sebagai pilihan utama.


"Apatah lagi, Indeks REIT Bursa Malaysia (KLREI) mencatat kenaikan 12% dalam tempoh setahun lalu, sedikit mengatasi prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI hanya 11%," kata RHB Research dalam notanya.


Tambah firma berkenaan, walaupun jurang pendapatan dividen dinilai semakin mengecil susulan peningkatan penilaian sektor sejak tahun lalu, ia masih melihat penilaian REIT sebagai adil.


Permintaan pelabur katanya, beralih terhadap pendapatan defensif, berorientasikan domestik serta pembayaran dividen yang konsisten kukuh, terutamanya dalam suasana ketegangan geopolitik semasa.


RHB Research berkata, jurang hasil dividen antara KLREI dan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun kini berada sekitar 150 mata asas, yang turut sejajar dengan purata jangka panjangnya.


"Kami juga menjangkakan hasil bon tersebut akan terus menurun secara beransur-ansur sepanjang tahun ini, sekali gus menyokong daya tarikan kepada sektor REIT," jelas firma penyelidikan itu.


Bagi musim keputusan kewangan untuk suku keempat 2025 (4QFY25), kesemua lapan kaunter REIT di bawah liputannya itu turut didapati mencatat prestasi yang selari dengan jangkaan awalnya.


IGB REIT merekodkan lonjakan ketara keuntungan suku tahunan dengan peningkatan 21% suku ke suku (QoQ), didorong sumbangan pusat beli-belah Mid Valley Southkey yang siap pada November 2025.

 

REIT

 

Dalam segmen pejabat pula kata RHB Research, IGB Commercial REIT menonjol dengan keuntungan bersih tahun kewangan 2025 meningkat 35% tahun ke tahun (YoY), disokong kadar penghunian bertambah baik.


"Bagi segmen industri, Axis REIT mencatat pertumbuhan keuntungan 25.9% YoY, sumbangan daripada pemerolehan aset baharu bernilai RM700 juta yang dimuktamadkan pada tahun kewangan 2024," katanya.


Mengulas mengenai prospek sektor berkenaan, firma penyelidikan itu berkata asas sektor REIT masih kukuh, disokong kadar penghunian yang tinggi serta kenaikan penyewaan premis pula lebih stabil.


RHB Research menjangka Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada 2.75% sepanjang 2026, berpotensi mengekang kos pinjaman dan memberi ruang kepada REIT untuk meneruskan aktiviti pemerolehan aset.


Dalam masa sama, pemulihan sektor pelancongan dilihat bakal memberi manfaat kepada REIT runcit, kerana perbelanjaan pelancong asing meningkat kira-kira 41% YoY kepada RM107 bilion pada 2024.


"Momentum ini dijangka berterusan sepanjang kempen pelancongan negara, Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), yang diramal terus merangsang tahap perbelanjaan pelancong antarangbangsa," katanya.


Antara REIT runcit yang berpotensi meraih manfaat ialah Pavilion REIT, IGB REIT dan Sunway REIT yang mempunyai pendedahan secara ketara kepada komponen sewaan berubah berdasarkan jualan penyewa.


Bagi segmen pejabat, sentimen masih lemah dengan banyak REIT diniagakan di bawah nilai buku, namun pemulihan mula kelihatan apabila penyerapan bersih ruang pejabat yang positif selama empat suku.


Sementara itu kata RHB Research, REIT industri dijangka terus mendapat manfaat daripada pemacu permintaan struktur disokong dasar kerajaan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.


"Bagaimanapun, antara risiko utama sektor tersebut termasuk penyusutan lanjut jurang hasil dividen, lebihan bekalan hartanah serta kejutan makroekonomi global," jelasnya. - DagangNews.com