KUALA LUMPUR 9 Julai – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab serantau dengan ketibaan Juneyao Airlines dari Shanghai, China.
Syarikat penerbangan itu kini mengendalikan empat penerbangan terus setiap minggu menggunakan pesawat Airbus A320 untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelancong dan ahli perniagaan.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, ketibaan Juneyao Airlines akan meningkatkan kekerapan penerbangan dan kapasiti tempat duduk bagi laluan Shanghai–Kuala Lumpur serta merangsang pertumbuhan rangkaian dan hubungan serantau, khususnya ke China.
Juneyao Airlines menjadi pengendali kelima laluan Shanghai–Kuala Lumpur dan ini merupakan destinasi kedua syarikat itu di Malaysia selepas Pulau Pinang pada Mei lalu.
Setakat Mei 2025, pasaran Asia Tenggara menyumbang 45.1% daripada jumlah trafik antarabangsa di KLIA, bersamaan lebih 8.1 juta pergerakan penumpang.
Ketika ini, KLIA menempatkan 10 syarikat penerbangan dari China, dua kali ganda berbanding sebelum pandemik, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menempatkan enam syarikat dari negara itu.- DagangNews.com








