Jualan Padini dikhuatiri lemah disebabkan tiada perayaan besar - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan Padini dikhuatiri lemah disebabkan tiada perayaan besar - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Mei — Prospek pertumbuhan hasil Padini Holdings Berhad diunjur lebih lemah untuk tempoh suku-suku berikutnya tahun ini disebabkan tiada kehadiran perayaan besar, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Firma penyelidikan tersebut berkata, jangkaan penyusutan pendapatan dialami oleh kumpulan berkenaan berikutan perkembangan trend perbelanjaan pengguna domestik yang kelazimannya kurang apabila tiada sambutan perayaan utama.


Ia berkata, syarikat berkenaan namun dibantu faktor kenaikan pertukaran nilai mata wang ringgit berbanding renminbi China baru-baru ini yang boleh memberi sedikit penyerapan berikutan banyak produk jualannya diimport dari negara itu.


"Kami bagaimanapun telah menaikkan unjuran hasil Padini pada FY25 sebanyak lima peratus untuk mencerminkan margin kasar lebih kukuh, sambil mengekalkan anggaran bagi FY26 dan FY27," kata Maybank IB dalam satu nota kajiannya.


Perkembangan positif tersebut berdasarkan laporan keputusan tempoh suku ketiga bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 yang melebihi jangkaan firma itu sendiri berikutan margin keuntungan kasar lebih kukuh daripada unjuran.


Syarikat itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM73 juta, menjadikan nilai terkumpul sembilan bulan kepada RM152 juta, mewakili 92 peratus daripada ramalan tahun penuh Maybank IB dan 99 peratus berbanding anggaran konsensus.


"Penurunan pendapatan ini didorong terutama oleh margin keuntungan kasar yang lebih baik daripada jangkaan dan Padini juga mengisytiharkan dividen interim sesaham keempat sebanyak 1.8 sen dan dividen khas satu sen," katanya.


Ia mengekalkan saranan "beli" dengan merujuk situasi pasaran secara luas menjadikannya sebagai penerima utama peningkatan pendapatan boleh guna pengguna dan menaikkan harga sasaran kepada RM2.85 sesaham. - DagangNews.com