KUALA LUMPUR 23 April – Selepas hampir tiga dekad mencatat pertumbuhan jualan relatif yang mendatar, Land & General Berhad kini berpotensi mencatat lonjakan lebih ketara, menurut analisis TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, jualan tahunan kumpulan pemaju itu dijangka mencecah RM1 bilion bermula FY28, dan menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai titik perubahan yang penting.
Sebelum ini tambahnya, syarikat tersebut berdepan dengan prestasi keuntungan sederhana susulan pendekatan yang konservatif dan kesan sejarah penyusunan semula korporat selama lebih 20 tahun.
"Prestasi semasa namun menunjukkan pemulihan kukuh apabila keuntungan teras bagi sembilan bulan FY26 naik kepada RM38 juta, melepasi pencapaian beberapa tahun," kata TA Securities dalam notanya.
Situasi positif berkenaan ujarnya, disokong hasil diperoleh Land & General mencatatkan sebanyak RM348.3 juta dengan margin keuntungan sebelum cukai yang bertambah baik kepada kira-kira 16%.
Menurut firma tersebut, momentum pertumbuhan kumpulan ini dijangka berterusan didorong jualan belum dibil sebanyak RM637 juta, dengan kira-kira 80% daripadanya bakal diiktiraf pada FY27.
Pemangkin utama seterusnya kata TA Securities adalah pembangunan tanah strategik seluas 1,012 hektar di Kerling, Daerah Hulu Selangor yang melalui proses penukaran status kepada perindustrian.

"Fasa pertama yang melibatkan 97 hektar dijangka dilancarkan Land & General pada hujung tahun ini dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) pula mencecah sebanyak RM1.5 bilion," tambahnya.
Ujarnya, apabila pembangunan mula menyumbang secara berperingkat, jualan tahunan kumpulan itu berpotensi meningkat ke paras sekitar RM1 bilion mulai FY28, tertakluk kepada pelaksanaan projek.
Nilai tanah tersebut juga jelas TA Securities, dijangka meningkat ketara daripada hanya 44 sen sekaki persegi kepada RM20 sekaki persegi selepas penukaran status dan pembangunan infrastruktur.
Selain itu, permintaan kukuh terhadap hartanah perindustrian di Selangor terutama sektor pembuatan bernilai tinggi, elektrik dan elektronik (E&E) serta pusat data (DC) dilihat menyokong projek.
"Dalam jangka pendek, pertumbuhan pendapatan Land & General disokong pelancaran projek baharu di Senawang, Negeri Sembilan dan Shah Alam, Selangor dengan potensi GDV lebih RM900 juta," katanya.
TA Securities mengunjurkan keuntungan kumpulan tersebut berkembang positif antara RM52 juta hingga sebanyak RM83 juta bagi tempoh FY26 hingga FY28, berbanding hanya kira-kira RM29.5 juta pada FY25.
Walaupun pendekatan konservatif dalam pengembangan tanah mungkin mengehadkan pertumbuhan jangka panjang, kedudukan kewangan kukuh dengan kadar hutang rendah terus menjadi penyokong asas.
Secara keseluruhan, Land & General dilihat berada pada landasan pemulihan yang lebih jelas, dengan potensi lonjakan jualan sebagai pemangkin utama dalam menarik semula minat pelabur. - DagangNews.com








