KUALA LUMPUR 9 April – Prospek jualan kenderaan diesel diramal boleh terjejas tahun ini, dengan kesannya ketara pada segmen kegunaan komersial berbanding persendirian, menurut MBSB Research.
Firma itu menambah, peningkatan harga diesel di Semenanjung Malaysia dijangka boleh menyebabkan pengendali lebih berhati-hati dalam perbelanjaan modal serta menangguhkan usaha perluasan armada.
Isu kenaikan mendadak harga bahan api itu jelasnya, dikhuatiri memberi tekanan amat besar terutamanya kepada banyak syarikat dalam aktiviti logistik, pengangkutan barangan, serta pengendali lori dan bas.
"Diesel yang mahal terus menaikkan kos pengangkutan dan operator diramal mengurangkan pembelian baharu atau perlu mencari alternatif enjin lebih jimat minyak," kata MBSB Research dalam notanya.
Pengendali dijangka mengoptimumkan penggunaan kenderaan diesel sedia ada dan secara keseluruhan, sektor automotif berdepan tekanan sederhana tahun ini disebabkan ketidaktentuan ekonomi semasa.
Setakat ini ujarnya, kenderaan berenjin petrol sebenarnya masih lagi mendominasi pasaran automotif di Malaysia dengan pegangan besar sebanyak 85%, diikuti diesel (6%), EV (5%) dan hibrid (4%).
Tambah MBSB Research, situasi itu susulan kitaran penggantian kenderaan lama kepada model baharu mula perlahan, disebabkan peningkatan kos bahan api semasa yang mengekang permintaan pengguna.

"Kami menjangka jumlah volum industri (TIV) bagi tahun kalendar 2026 kembali normal kepada 788,000 unit, susut 4% tahun ke tahun (YoY) selepas pertumbuhan empat tahun berturut-turut," ujarnya.
Prestasi Februari 2026 kata firma tersebut, adalah dalam jangkaan apabila mencatatkan 52,414 unit, susut 18.5% bulan ke bulan (MoM) disebabkan faktor bermusim termasuk cuti Tahun Baharu Cina.
Bagaimanapun, jumlah terkumpul dua bulan pertama (2MCY26) masih meningkat sedikit sebanyak 0.8% kepada 116,712 unit, didorong jualan kukuh pada Januari 2026 disebabkan tempahan yang tertunggak.
Ia susulan pelancaran banyak model baharu hujung tahun lalu, dengan prestasi kenderaan penumpang terus disokong jenama nasional, khususnya Proton yang mencatat pertumbuhan 10% YoY dalam 2MCY26.
Sebaliknya kata MBSB Research, segmen bukan nasional merosot 21.2% dengan Honda dan Toyota masing-masing mencatat penurunan 41.4% dan 28.5%, sekali gus memberi tekanan kepada keseluruhan pasaran.
"Kami namun menjangkakan jualan pulih pada Mac 2026, disokong musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, dan kebanyakan pengeluar utama di landasan untuk mencapai sasaran jualan tahun ini," katanya.
Antaranya jelas firma penyelidikan tersebut, Perodua mencatatkan TIV 74,233 unit setakat Mac 2026, manakala Proton merekodkan 48,440 unit atau 24% daripada sasaran tahunan sebanyak 200,000 unit.

Honda pula tambah MBSB Research, sudah mencapai sejumlah 13,618 unit atau kira-kira 23% daripada sasaran tahunan, manakala Toyota mencatatkan sebanyak 22,208 unit bagi tempoh suku pertama 2026.
Ujarnya, dalam segmen kenderaan elektrik (EV), Proton muncul sebagai eneraju dengan jualan 8,197 unit pada suku pertama, didorong model e.MAS 5 yang menyumbang 82% daripada jumlah tersebut.
"Momentum turut meningkat bagi model terbaharu iaitu e.MAS 7 susulan langkah peralihan kepada pemasangan tempatan yang menyebabkan penurunan harga di pasaran domestik," kata firma berkenaan.
Sementara itu kata MBSB Research, BYD berada di tempat kedua dengan 2,261 unit, namun rancangan syarikat tersebut untuk membangunkan kilang pemasangan tempatan berdepan isu ketidaktentuan.
Ia berikutan syarat ketat kerajaan termasuk keperluan eksport 80% dan had jualan domestik, dengan Proton dijangka menjadi penerima manfaat utama kerana model e.MAS bersaing dalam segmen sama.
Firma penyelidikan berkenaan turut menekankan mengenai isu kenaikan kos bahan api semasa susulan faktor luaran seperti konflik geopolitik antarabangsa memberi kesan kepada permintaan minyak.
Walaupun subsidi bersasar RON95 membantu mengekalkan kos bagi pengguna massa, peningkatan harga bagi pengguna tidak bersubsidi dijangka mempercepatkan peralihan kepada kenderaan cekap bahan api.
Seiring prospek sektor automotif tempatan yang lebih mencabar, MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap MBM Resources Berhad dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM6.00 sesaham.
"Syarikat pengedaran pelbagai jenama itu disokong pendedahan kukuh kepada Perodua dalam segmen pasaran massa berdaya tahan, selain manfaat daripada pergerakan mata wang yen Jepun," ujarnya.
Selain itu katanya, saham kumpulan tersebut diniagakan pada paras satu sisihan piawai di bawah purata lima tahun dan menawarkan hasil dividen menarik sekitar 10.6%. - DagangNews.com








