KUALA LUMPUR 7 April – Mettiz Capital bukan lagi pemegang saham utama dalam Hibiscus Petroleum Berhad selepas melupuskan sebahagian pegangannya dalam syarikat tersebut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hibiscus Petroleum berkata Mettiz Capital telah menjual 1.12 juta saham pada 2 April dan 0.54 juta saham lagi pada 3 April lalu.
Pelupusan itu menyebabkan pegangan Mettiz Capital susut kepada 35.27 juta saham, iaitu di bawah paras 5% yang ditetapkan bagi status pemegang saham utama.
Nilai keseluruhan pelupusan saham berkenaan dianggarkan sekitar RM3.71 juta berdasarkan harga penutupan pada hari urus niaga tersebut.
Mettiz Capital mula muncul sebagai pemegang saham utama dalam Hibiscus Petroleum pada 2016 selepas melanggan saham terbitan persendirian syarikat itu.
Bagaimanapun, pengasasnya, Michael Tang Vee Mun, masih kekal sebagai antara pemegang saham terbesar melalui kepentingan tidak langsung dalam Polo Investments Ltd dan Mettiz.
Secara keseluruhan, kepentingan tidak langsung beliau dalam Hibiscus Petroleum dianggarkan sekitar 12.32%.
Sementara itu, saham Hibiscus Petroleum ditutup susut tujuh sen atau 3.1% kepada RM2.17 pada Isnin, meletakkan nilai pasaran kumpulan sekitar RM1.6 bilion.
Pada masa sama, syarikat minyak dan gas itu sebelum ini memaklumkan sedang berbincang dengan tiga pihak bebas termasuk dua syarikat minyak, bagi potensi pelaburan strategik jangka panjang melibatkan suntikan aset pengeluar minyak dan gas serta tunai. - DagangNews.com








