KUALA LUMPUR 22 April — Komuniti perniagaan di Singapura bertindak balas positif terhadap Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan kebanyakan syarikat ditinjau menyatakan minat terhadap potensi inisiatif itu, kata Affin Hwang Investment Bank Berhad.
Firma penyelidikan tersebut berkata, walaupun ada beberapa kebimbangan telah dibangkitkan mengenai kemungkinan kesan negatif terhadap sektor perniagaan tempatan kecil berhampiran, setakat ini belum ada lagi sebarang bantahan awam secara ketara yang berlaku.
Tinjauan terhadap perkembangan JS-SEZ tambahnya, adalah kekal positif, dengan disokong oleh komitmen kukuh melibatkan kerajaan Malaysia dan Singapura, serta maklum balas yang menggalakkan daripada sektor korporat kedua-dua negara itu sendiri.
"JS-SEZ menyasarkan untuk menarik sebanyak 50 projek bernilai tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang dan mencapai 100 projek sepanjang dekad akan datang, dengan matlamat mewujudkan 20,000 pekerjaan berkemahiran tinggi," katanya dalam nota kajian.
Affin Hwang menambah, menurut laporan baru-baru ini, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar memaklumkan bahawa Invest Malaysia Facilitation Centre Johor telah menerima lebih 250 pertanyaan daripada bakal pelabur yang berminat ke atas JS-SEZ.
Mereka termasuk syarikat-syarikat Denmark dalam sektor perubatan dan farmaseutikal, serta beberapa firma China yang berhasrat meneroka peluang bidang teknologi kecerdasan buatan (AI).
Firma penyelidikan itu menyatakan bahawa hubungan dua hala Malaysia-Singapura pada masa ini adalah kukuh, dengan kedua-dua negara menikmati kestabilan politik yang relatif.
Ia menambah bahawa inisiatif pembentukan zon berkenaan juga telah mendapat sokongan baik di semua peringkat termasuk kerajaan persekutuan dan negeri, serta kerabat diraja Johor.
Dari perspektif global kata Affin Hwang, JS-SEZ adalah tindak balas strategik kepada kepelbagaian rantaian bekalan global di tengah-tengah ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang berterusan.
"Selain itu, Singapura menghadapi kekangan sumber seperti tanah dan tenaga kerja yang terhad, yang menjadikan JS-SEZ sebagai laluan pengembangan praktikal untuk perniagaan negara jiran tersebut," kata firma berkenaan.
Affin Hwang seterusnya menekankan bahawa kedua-dua kerajaan percaya kerjasama antara Johor dan Singapura boleh membuahkan hasil yang lebih besar daripada usaha masing-masing.
Matlamat utama JS-SEZ katanya, adalah untuk memupuk sinergi antara kedua-dua wilayah, selain dapat mewujudkan suasana nilai yang berbeza melalui kerjasama strategik.
Usaha awal katanya, perlu tertumpu kepada menarik pelaburan baharu dan menyokong pengembangan perniagaan dengan menangani cabaran utama termasuk kekurangan bakat, menambah baik kemudahan serta meningkatkan pergerakan rakyat dan barangan rentas sempadan.
"Walaupun usaha semasa ketika ini tertumpu pada pelancaran inisiatif peringkat awal, JS-SEZ kekal sebagai projek dinamik, dengan langkah selanjutnya dijangka menyusul," tambah Affin Hwang.
Dari segi infrastruktur, pihak berkuasa perlu meningkatkan kecekapan di pusat pemeriksaan darat manakala Singapura tetap terbuka kepada cadangan untuk menambah baik perkhidmatan feri dan sambungan kereta api berkelajuan tinggi. - DagangNews.com








