Johor Plantations catat lonjakan untung 52% didorong premium RSPO, AmInvest naikkan sasaran harga saham kepada RM1.72 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor Plantations catat lonjakan untung 52% didorong premium RSPO, AmInvest naikkan sasaran harga saham kepada RM1.72

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Johor Plantations Group Bhd (JPG) merekodkan keputusan kewangan kukuh bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, dengan keuntungan bersih melonjak 51.6% tahun ke tahun kepada RM151.1 juta. Peningkatan itu dipacu harga produk sawit lebih tinggi, jualan lebih kukuh serta kos baja yang rendah.

 

AmInvest dalam nota penyelidikannya mengekalkan saranan BELI ke atas saham JPG sambil menaikkan harga sasaran kepada RM1.72 sesaham berbanding RM1.67 sebelum ini, dengan alasan pendedahan tinggi kumpulan kepada harga minyak sawit mentah (CPO) dan kelebihan harga jualan premium melalui pensijilan RSPO.

 

Walaupun harga purata CPO susut 12.8% suku ke suku kepada RM4,331 satu tan pada 2QFY25, JPG tetap mengekalkan keuntungan bersih sebanyak RM75.2 juta hasil lonjakan 30.2% dalam volum jualan CPO.

 

Sepanjang 1HFY25, JPG memperoleh harga jualan purata RM4,605 satu tan, iaitu premium RM215 berbanding harga purata MPOB sebanyak RM4,390.

 

Premium ini berpunca daripada permintaan kukuh produk sawit bertauliah RSPO, khususnya kategori Identity Preserved yang dijangka kekal kukuh menjelang pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) pada 30 Disember 2025.

 

“Keputusan JPG adalah 6% melebihi unjuran kami dan 5% mengatasi konsensus, didorong margin kasar yang lebih baik daripada jangkaan serta kos pembiayaan lebih rendah,” kata AmInvest sambil menaikkan unjuran keuntungan bersih FY25 kumpulan itu sebanyak 4.4%.

 

Dari segi operasi, pengeluaran buah tandan segar (BTS) merosot 7.8% YoY pada 1HFY25 akibat banjir pada 1Q, namun pulih 25% QoQ pada 2Q. Penganalisis menjangkakan pengeluaran mencapai paras tertinggi pada Ogos atau September.

 

Melangkah ke hadapan, JPG bakal mengembangkan perniagaan ke segmen hiliran dengan pembinaan loji penapisan sawit pertamanya yang dijangka siap pada separuh kedua FY26. Ketika ini, jualan kumpulan tertumpu kepada kilang penapisan di Johor termasuk Intercontinental Specialty Fats, Palmaju Edible Oils dan PGEO Group.

 

AmInvest menilai JPG pada gandaan PE 15 kali unjuran EPS FY26 sebanyak 11.5 sen, sama seperti penilaian Genting Plantations. “Kami percaya JPG wajar diniagakan pada paras setara dengan GenP berikutan harga jualan premium serta pendedahan tinggi kepada pergerakan harga CPO,” jelas firma penyelidikan itu.

 

Pemangkin harga saham termasuk kenaikan harga CPO, peningkatan keuntungan ladang serta potensi pengambilalihan atau pelupusan tanah.

 

Risiko utama pula merangkumi kejatuhan harga CPO selain kenaikan kos baja dan gaji pekerja. - DagangNews.com