Johor bimbang peningkatan trend penghijrahan petugas kesihatan ke Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor bimbang peningkatan trend penghijrahan petugas kesihatan ke Singapura

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai – Peningkatan trend penghijrahan petugas kesihatan awam terutamanya doktor dan jururawat ke Singapura berikutan tawaran gaji lumayan semakin membimbangkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.

 

Beliau berkata, walaupun isu itu telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu, trendnya semakin meningkat dan berisiko menjejaskan keupayaan hospital kerajaan di Johor.

 

“Ia bukanlah isu baharu. Gaji yang jauh lebih tinggi di Singapura mendorong ramai doktor dan jururawat awam kita menerima tawaran kerja di seberang Tambak.

 

"Situasi ini boleh menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam negeri, lebih-lebih lagi menjelang pembukaan Hospital Pasir Gudang pada 1 Ogos yang memerlukan penempatan semula kakitangan dari hospital sedia ada," katanya.

 

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan mengadakan satu pertemuan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membincangkan strategi jangka panjang termasuk peningkatan pengambilan pelatih perubatan serta penambahbaikan insentif kerjaya dalam sektor awam.

 

Semalam, media melaporkan  Kementerian Kesihatan Singapura mengadakan sesi temu duga secara 'walk-in' di Kuala Lumpur City Centre untuk menarik doktor dan pengamal am Malaysia, dengan pakej permulaan sekitar SGD110,000 setahun (kira-kira RM385,000) tidak termasuk elaun perumahan, insurans dan faedah lain.

 

Satu hantaran yang tular di media sosial Threads turut menyebut tawaran tersebut sesuai bagi doktor yang ingin bekerja dua tahun di Singapura untuk menyimpan aset sebelum kembali berkhidmat di Malaysia.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri amat menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dan percaya ramai yang masih mahu berkhidmat di Johor, namun memahami realiti golongan itu pasti tertarik dengan imbuhan kewangan yang lebih tinggi.

 

“Dengan insentif dan struktur gaji yang lebih baik, kita boleh pastikan mereka kekal dalam sistem kesihatan awam tanpa perlu berhijrah,” katanya.

 

Beliau turut menggesa KKM agar segera mengisi kekosongan jawatan bagi menampung pemindahan staf dari Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail dan fasiliti lain ke Hospital Pasir Gudang bagi mengelak gangguan perkhidmatan kepada rakyat. - DagangNews.com