LONDON 17 Okt (AFP) – Ribuan pengguna di United Kingdom telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap gergasi farmaseutikal dan kosmetik Amerika Syarikat, Johnson & Johnson (J&J) dengan mendakwa individu yang disahkan menghidap kanser telah terdedah kepada asbestos dalam bedak talkum keluarannya, menurut peguam semalam.
Syarikat itu sebelum ini telah berdepan beberapa siri saman serupa di Amerika Utara, dengan tuntutan terbaharu di UK difailkan di Mahkamah Tinggi London.
Firma guaman yang mewakili sekitar 3,000 pengadu di Britain berkata tuntutan pampasan itu “dianggarkan melebihi £1 bilion” (RM5.68 bilion).
Mereka mendakwa bahawa mereka atau ahli keluarga telah menghidap barah ovari atau mesothelioma akibat penggunaan Baby Powder keluaran J&J.
“Tuntutan ini, yang meliputi tempoh dari 1965 hingga 2023, memperincikan bagaimana Johnson & Johnson mengetahui bahawa produk talkum mereka mengandungi serat karsinogenik, termasuk asbestos, selama lebih 50 tahun,” kata KP Law.
Syarikat itu “memilih untuk terus menjual produk tersebut demi keuntungan,” tambahnya, sambil mendakwa J&J hanya menarik balik bedak talkum mineral mereka dari pasaran Britain pada 2023 — tiga tahun selepas ia dikeluarkan daripada pasaran Amerika Utara.
Jurucakap Johnson & Johnson merujuk pertanyaan kepada bekas anak syarikat kesihatan pengguna mereka, Kenvue, yang dipisahkan daripada J&J pada Ogos 2023.
“Sebagai sebahagian daripada pemisahan tersebut, Kenvue mengekalkan tanggungjawab dan sebarang liabiliti berkaitan litigasi bedak talkum di luar Amerika Syarikat dan Kanada,” kata jurucakap itu.
Jurucakap Kenvue pula menegaskan bahawa keselamatan Baby Powder J&J “disokong oleh bertahun-tahun ujian oleh makmal bebas, universiti dan pihak berkuasa kesihatan di UK serta di seluruh dunia.”
Beliau menambah bahawa “bedak talkum kosmetik berkualiti tinggi” yang digunakan dalam produk itu “mematuhi semua piawaian peraturan yang diperlukan, tidak mengandungi asbestos, dan tidak menyebabkan kanser.”
Mahkamah di Amerika Syarikat pada April lalu menolak tawaran J&J untuk membayar kira-kira AS$8 bilion dalam tempoh 25 tahun bagi menyelesaikan sekitar 90,000 tuntutan sivil berkaitan masalah ovari, tanpa mengakui sebarang liabiliti.
Agensi kanser Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan talkum sebagai bahan yang “mungkin bersifat karsinogenik” kepada manusia pada Julai tahun lalu.
Namun, satu ringkasan kajian yang diterbitkan pada 2020 melibatkan 250,000 wanita di Amerika Syarikat tidak menemui hubungan statistik antara penggunaan talkum pada bahagian genital dan risiko kanser ovari. — AFP








