KUALA LUMPUR 1 Nov - Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar mengecam keras Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berhubung cara beliau menangani soalan daripada seorang wartawan ketika mengumumkan projek pencahayaan bandar “I Lite U.”
Dalam satu kenyataan media yang tegas, Tan Sri Johan Jaaffar yang kesal dengan kejadian tersebut dan mendesak Kor Ming supaya segera memohon maaf kepada wartawan berkenaan dan seluruh komuniti media, sambil memberi amaran keras terhadap sebarang cubaan intimidasi.
Johan mengkritik tindakan Menteri yang mempersoalkan pertanyaan wartawan tersebut, menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak wajar dan angkuh.
“Wartawan berhak menanyakan sebarang soalan dan sebagai menteri, Nga Kor Ming sepatutnya memberikan jawaban yang baik, munasabah dan tidak angkuh,” tegas Johan.
Beliau turut membidas ancaman Menteri untuk menghubungi ketua pengarang wartawan tersebut, yang dianggap sebagai taktik membuli dan menekan pengamal media.
“Menteri tidak boleh dilihat menggunakan kuasa dan kedudukan untuk membuli wartawan. Apatah lagi mengintimidasi mereka. Wartawan sepatutnya dihargai dan dihormati profesyen mereka dan bukan dipersoal dan diugut,” tambahnya, menekankan bahawa tindakan itu hanya menambah masalah komunikasi antara kerajaan dan media.
Tokoh Wartawan Negara itu menegaskan, insiden tersebut secara jelas menunjukkan percanggahan dengan nilai-nilai yang diwar-warkan oleh pimpinan tertinggi negara.
“Tindakan seperti ini... jelas bertentangan dengan prinsip keterbukaan dan toleransi terhadap media yang disuarakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri,” ujar beliau, memberi bayangan mengenai kekecewaan komuniti media terhadap layanan ahli Kabinet.
ARTIKEL BERKAITAN: PENA bidas Kor Ming, anggap sindiran menteri menekan wartawan
Dalam isu berasingan tetapi berkaitan dengan pengumuman Menteri, Tan Sri Johan Jaaffar, yang juga merupakan mantan Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), turut mengecam penggunaan ungkapan Bahasa Inggeris “I Lite U” untuk kempen peringkat nasional.
“Saya tidak dapat menerima kewajaran ungkapan Bahasa Inggeris digunakan untuk sebarang kempen peringkat nasional. Sekadar menceriakan wajah kota kita sempena Tahun Melawat Malaysia tahun 2026 tidak memerlukan ungkapan ‘I Lite U’,” bantahnya. - DagangNews.com








