KUALA LUMPUR 16 April — JcbNext Berhad mencatatkan hasil hampir RM20 juta daripada pelupusan sebahagian pegangan dalam syarikat bersekutunya di Taiwan, 104 Corporation secara berperingkat.
Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia hari ini, tindakan penjualan ekuiti itu merupakan langkah strategik mengurangkan risiko tumpuan pelaburan dan mempelbagaikan portfolio.
Tambahnya, ia sudah berjaya melupuskan sebanyak 689,782 saham dalam syarikat itu antara 3 Oktober 2025 hingga 16 April 2026, dengan menjana hasil keseluruhan sebanyak 153.77 juta dolar Taiwan.
"Jumlah ini adalah bersamaan kira-kira RM19.99 juta, sekali gus mengurangkan pegangan JcbNext dalam 104 Corporation kepada 7.52% berbanding sebelumnya 3.19 juta saham," jelas kumpulan itu.
Selain itu ujarnya, transaksi tersebut menghasilkan anggaran keuntungan bersih sekitar RM9.60 juta berbanding kos pelaburan asal sebanyak RM6.80 juta yang dilaksanakan antara 2007 hingga 2010.
Kumpulan berkenaan menambah, langkah pelupusan itu turut selari dengan strategi syarikat untuk mempelbagaikan pelaburan serta mengurangkan kebergantungan kepada hanya satu aset atau pasaran.
Hasil pelupusan itu pula jelas JcbNext, akan digunakan untuk pelaburan baharu termasuk sekuriti ekuiti tersenarai atau pelaburan swasta yang memenuhi objektif pelaburan syarikat tersebut.
"Tempoh penggunaan penuh hasil penjualan saham berkenaan dijangka dalam tempoh selama dua tahun, namun pelaksanaannya bergantung kepada keadaan pasaran semasa pada ketika itu," tambahnya.
Pelupusan ini dijangka meningkatkan pendapatan sesaham (EPS) kepada 46.12 sen berbanding 38.83 sen sebelum ini, manakala aset bersih sesaham turut bertambah kepada sebanyak RM3.09 daripada RM3.04.
Pada masa sama, JcbNext menjelaskan yang langkah pelupusan tersebut tidak akan memberi kesan kepada struktur modal saham, pegangan pemegang saham utama mahupun tahap penggearan kumpulan.
Lembaga pengarah kumpulan itu turut berpandangan usaha itu adalah dalam kepentingan terbaik syarikat, selain tidak melibatkan sebarang kepentingan pengarah atau pemegang saham utama.
"Pelupusan berkenaan juga tidak memerlukan sebarang kelulusan daripada mana-mana pemegang saham atau pihak berkuasa yang berkaitan," ujarnya. - DagangNews.com








