KUALA LUMPUR 13 Feb — JAECOO mula melancarkan pemasangan tempatan pertama kenderaan elektrik hibrid secara plag (PHEV) menerusi model J7 dari fasiliti modennya di Shah Alam, Selangor.
Menurut kenyataan syarikat automotif dari China itu, pengeluaran sulung tersebut bersempena dengan pelancaran rasmi model berkenaan yang bakal memasuki pasaran tempatan akhir bulan ini.
Naib Presiden JAECOO Malaysia, Emily Lek berkata, usaha itu juga selaras dengan kemajuan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di negara ini yang terus berkembang pesat sejak beberapa tahun lalu.
“Kami percaya J7 sangat sesuai dengan selera pasaran Malaysia untuk alternatif antara segmen Enjin Pembakaran Dalaman (ICE) dan EV yang bersaing menyediakan model terbaik," jelas beliau.
JAECOO ujarnya, berbesar hati bagi menawarkan ketenangan fikiran kepada pengguna yang mula memilih peralihan kepada mobiliti tenaga hibrid dengan model kenderaan utiliti sukan (SUV) terkini.
Selain itu, beliau memberikan jaminan kelengkapan rangkaian JAECOO dan bersedia untuk menjaga baik pelanggan PHEV yang merupakan kunci kepada jangka hayat perjalanan pemilikan EV mereka.
Model J7 tambah Emily, bukan sahaja menawarkan prestasi enjin lebih baik, malahan mengandungi teknologi baharu dikenali Sistem Super Hibrid yang pertama seumpamanya dalam kelas PHEV.
"Ia unggul dari segi julat elektrik tulen, penggunaan tenaga dan daya tahan dengan penggunaan bahan api terendah iaitu 5.99 liter bagi setiap 100 kilometer (km) jika kehabisan kuasa," katanya.
Kereta itu juga tambah beliau, telah berjaya diuji dalam pemanduan jarak jauh dari Singapura ke Hatyai, Thailand dan mencatatkan lebih 1,200km jarak maksimum satu cas, berdasarkan ujian piawai.
JAECOO yang merupakan jenama premium SUV luar jalan, mula memasuki pasaran Malaysia tahun lepas serta terkenal dengan prestasi EV bersifat mesra alam sekitar dan cekap tenaga. - DagangNews.com








