ITMAX System dilantik pengendali tempat letak kereta pintar di Pontian, projek keenam seumpamanya di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ITMAX System dilantik pengendali tempat letak kereta pintar di Pontian, projek keenam seumpamanya di Johor

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 5 Feb - Penyedia perkhidmatan kemudahan digital bersepadu yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan, ITMAX System Berhad menerusi anak syarikatnya, Southmax Sdn Bhd, dilantik oleh Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) sebagai pengendali tempat letak kereta pintar di kawasan Pontian.

 

Pelantikan itu yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025, adalah untuk tempoh 15 tahun di bawah model perkongsian hasil, di mana Southmax akan menerima 70% daripada hasil yang dijana melalui kutipan tempat letak kereta dan kompaun melalui aplikasinya, Parkmax@JOHOR.

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX System, William Tan Wei Lun berkata, pihaknya sangat teruja untuk mengembangkan rumusan tempat letak kereta pintarnya ke Pontian.

 

"Projek terbaharu ini adalah yang keenam untuk kami sebagai pengendali sistem tempat letak kereta pintar di Johor. 

 

"Pencapaian ini menonjolkan kepakaran kami dalam menyediakan rumusan tempat letak kereta yang lancar dan menyeluruh yang menyepadukan kutipan dan penguatkuasaan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelasnya, dengan peralihan digital yang pesat di Johor, ITMAX System komited untuk terus memperluas jejak syarikat di seluruh negeri, meningkatkan kecekapan dan kelestarian dalam pengurusan bandar. - DagangNews.com